SERDANG: Pro-Net, anak syarikat milik penuh Proton memperkenalkan model terbaharu yang dikenali sebagai Proton e.MAS 5 pada Pameran Automotif Malaysia 2025 (MAS2025).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zhang Qiang berkata, model kenderaan elektrik (EV) terbaharu itu dijadualkan dilancarkan pada suku keempat tahun 2025.
Katanya, model tersebut disasarkan kepada golongan pemandu muda dan pembeli EV kali pertama, dengan janji untuk menjadikan mobiliti elektrik lebih mampu milik, bergaya dan mudah untuk generasi baharu rakyat Malaysia.
“Inisiatif ini selari dengan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) kerajaan yang menyasarkan 80 peratus jualan kenderaan baharu terdiri daripada EV menjelang 2050.
“Ia juga menyokong matlamat Malaysia dalam membangunkan ekosistem EV yang kukuh dan menggalakkan orang ramai beralih kepada mobiliti lestari,” katanya di MAS2025 yang berlangsung dari 9 hingga 15 Mei di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Model terbaharu dalam barisan e.MAS itu menjadi tarikan utama di ruang pameran Proton e.MAS.
Dibalut dengan rekaan pelekat pembalut kereta yang unik, kenderaan ini menarik perhatian ramai pengunjung yang ingin melihat lebih dekat perkembangan terkini dalam usaha menuju elektrifikasi daripada Pro-Net.
Dengan penamaan angka ‘5’, model ini ditonjolkan sebagai pilihan yang lebih kompak berbanding e.MAS 7 dimana ia direka khusus sebagai sebuah SUV segmen C.
Walaupun lebih kecil, e.MAS 5 tetap membawa kecerdasan dan reka bentuk yang berpandangan jauh, ciri yang menjadi identiti utama dalam barisan Proton e.MAS.
Qiang berkata, e.MAS 5 adalah gambaran visi kami untuk era baharu mobiliti elektrik, direka khas untuk generasi muda Malaysia, membentuk masa depan yang lebih pintar, lebih hijau dan lebih menyeronokkan.
“Jika e.Mas 7 dicipta untuk memenuhi keperluan keluarga Malaysia, e.MAS 5 pula memberikan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik, menarik dan pastinya menyeronokkan,” ujarnya.
Dengan pengumuman nama model baharu Proton e.MAS, Pro-Net turut melancarkan Kempen dan Peraduan ‘Electrify Your Life’ di seluruh negara, yang bertujuan untuk mempercepatkan penerimaan EV di Malaysia.
Peraduan ini, yang berlangsung dari 8 Mei hingga 31 Julai 2025 mengajak rakyat Malaysia berkongsi makna elektrifikasi bagi mereka dengan menghantar slogan kreatif melalui laman rasmi di https://emaselectrifycontest.pronet.my/.
Peserta berpeluang untuk menang dengan menghadiri sesi pandu uji di pengedar Proton e.Mas terpilih dan menyertai kempen jelajah yang diadakan di seluruh negara, serta berpeluang mengumpulkan sehingga 36 penyertaan.
Hadiah bulanan akan diberikan sepanjang kempen berlangsung dan kempen ini akan berakhir dengan pengumuman pemenang hadiah utama yang bakal membawa pulang Proton e.MAS 5 yang baharu.
Pengunjung juga berpeluang melihat terlebih dahulu Proton e.MAS 5 yang dilitupi rekaan corak pelekat pembalut kereta di lokasi kempen jelajah ‘Electrify Your Life’ di TRX Mall, Kuala Lumpur (22 hingga 25 Mei), Gurney Paragon, Penang (13 hingga 15 Jun), AEON Mall, Melaka (27–29 Jun), Paradigm Mall, Johor Bahru (3–6 Julai) dan Central i-City, Shah Alam (21-24 Ogos).
Pemenang hadiah utama Proton e.MAS 5 akan diumumkan semasa jelajah terakhir di Central i-City pada 24 Ogos 2025. – UTUSAN