PETALING JAYA: Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) merekodkan RM1.01 bilion dalam jualan hartanah baharu dalam tempoh lima bulan pertama 2025, berbanding RM992 juta yang dicapai dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi itu disokong oleh momentum jualan yang kukuh dan tumpuan strategik pada tawaran mampu milik Siri M, sekali gus meyakinkan kumpulan dapat meraih sasaran jualan setahun penuh sekurang-kurangnya RM2.65 bilion.
Dalam kenyataan keputusan kewangan suku pertama berakhir 31 Mac hari ini, Mah Sing melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) bernilai RM91.4 juta di belakang hasil sebanyak RM649.7 juta, berbanding masing-masing RM82.1 juta dan RM558.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Peningkatan PBT sebanyak 11.4 peratus dan lonjakan hasil 16.4 peratus itu mencerminkan tumpuan berterusan kumpulan terhadap kecekapan operasi, pelaksanaan berdisiplin dan tawaran yang dipacu pasaran.
“Prestasi kewangan kukuh Mah Sing pada awal 2025 menyerlahkan daya tahan dan ketangkasan syarikat dalam mengemudi landskap hartanah yang dinamik.
“Pengurusan modal kumpulan yang berhemat dan pelaksanaan operasi yang kukuh telah membolehkan mereka mengekalkan kunci kira-kira yang sihat dengan tunai RM1 bilion, baki bank dan pelaburan jangka pendek pada 30 Mei 2025, serta penggearan bersih yang rendah sebanyak 0.17x pada 31 Mac 2025,” menurut kenyataan.
Kekuatan kewangan tersebut memberi kuasa kepada Mah Sing untuk merebut peluang strategik, seperti pengambilan tanah mereka baru-baru ini – M Aria di Sentul dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM283 juta.
Bermula dengan projek baharu yang menarik di semua wilayah iaitu wilayah pusat, utara dan selatan, lebih banyak pelancaran pada separuh kedua tahun ini dengan lebih RM3.3 bilion pelancaran hartanah baharu yang dirancang.
Projek yang baru dilancarkan telah menarik minat yang kuat dalam lima bulan pertama 2025 termasuk Fasa 1A Impira M Legasi di Semenyih, Residensi Suria Madani di Taman Desa, Fasa 4A5 Allamanda dan Fasa 1B Jasmine of Meridin Timur, serta Fasa 2B M Tiara di Johor Bahru.
Mah Sing juga memperkukuh strategi pendapatan berulangnya dengan meletakkan semula aset komersil sedia ada terpilih ke dalam gaya hidup bertenaga dan destinasi untuk tinggal, bekerja dan meneroka.
Kumpulan juga sedang meneroka hab penjagaan kesihatan dan kesejahteraan yang komprehensif dalam aset komersilnya yang sedia ada, Icon City 2 di Petaling Jaya, yang dibayangkan sebagai pusat sehenti untuk perkhidmatan perubatan, kesihatan dan makanan dan minuman (F&B), memberi perkhidmatan kepada semua peringkat umur dan mempromosikan kesejahteraan holistik. – UTUSAN