SERDANG: Sektor kenderaan elektrik (EV) Malaysia terus menunjukkan kemajuan, dengan lebih 43,000 kenderaan elektrik bateri (BEV) kini di atas jalan di seluruh negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha kerajaan untuk membangunkan ekosistem EV telah membuahkan hasil positif, hasil gabungan insentif penggunaan, pembangunan infrastruktur dan kejayaan pengeluaran tempatan.
“Saya lebih berbangga untuk menyatakan bahawa sumbangan EV kepada jumlah volum industri (TIV) telah meningkat secara berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Malaysia kini mempunyai sejumlah 43,572 BEV di jalan raya, dengan 9,880 kenderaan elektrik dan hibrid telah terjual dalam suku pertama tahun 2025 sahaja,” katanya pada majlis peluncuran Pameran Automotif Malaysia 2025 (MAS2025) di sini, semalam.
Pameran tersebut berlangsung dari 9 hingga 15 Mei di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Tengku Zafrul berkata, satu daripada inisiatif utama yang menyokong penggunaan EV adalah program e-Basikal MARiiCAS, yang menawarkan rebat sebanyak RM2,400 kepada pemohon yang layak dan berpendapatan bawah RM120,000 setahun.
Jelasnya, dari tahun 2024 hingga suku pertama 2025, sebanyak 8,658 permohonan telah diluluskan, melibatkan jumlah rebat RM20.8 juta.
“Kerajaan juga sedang giat memperkukuh infrastruktur EV di seluruh negara. Sehingga 31 Mac 2025, sebanyak 4,161 stesen pengecas EV telah dipasang, merangkumi 2,857 pengecas arus ulang alik (AC) dan 1,304 pengecas arus terus (DC).
“Kerajaan kekal komited untuk mencapai sasaran 10,000 stesen pengecas EV menjelang akhir tahun ini, dengan sokongan daripada pemain industri seperti Gentari,” ujarnya.
Beliau turut mengesahkan bahawa Perodua telah menyiapkan pembangunan model EV pertamanya dan ujian telah pun bermula sejak 24 April 2025.
“Malah, beberapa peminat automotif tempatan dilaporkan telah melihat model pertama Perodua iaitu eMO (Electric Motion Online) diuji di jalan raya Malaysia beberapa hari lalu, hanya lima bulan selepas konsep eMO-II dipamerkan di satu lagi pameran automotif.
“Imej hatchback tersebut turut tersebar luas di media sosial, dengan rekaan corak camouflage hitam putih yang menarik perhatian,” katanya. – UTUSAN