MANISAN semulajadi yang diproses daripada air nira kelapa atau lebih dikenali sebagai ‘nisang’ di Terengganu menjadi identiti unik perniagaan diusahakan seorang wanita dari Marang, Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 27, sejak lima tahun lalu.
Mesra disapa sebagai Cikna, ibu kepada tiga anak itu berkata, pada mulanya, dia mencari rezeki sebagai jurumekap profesional sebelum memulakan perniagaan menjual produk minuman Kopi Nisang Asli.
Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ketika Covid-19 melanda negara menyebabkan banyak majlis perkahwinan, pertunangan dan keraian tertunda sekali gus menjejaskan pendapatannya ketika itu sebagai seorang jurumekap.
“Untuk mengisi masa lapang, saya dan suami, Muhammad Faris Syarafuddin Mohd. Kahni, 29, cuba menghasilkan air kopi menggunakan nisang asli dengan resipi keluarga kami turun temurun.
“Kopi yang diberi kepada kawan-kawan dan saudara-mara itu mendapat maklum balas positif dan saya mula menjualnya secara kecil-kecilan apabila kerajaan membenarkan operasi perniagaan dijalankan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Batu Putih, Marang, Terengganu, baru-baru ini.
Penggunaan media sosial seperti Facebook dan Instagram ketika itu banyak membantunya mempromosikan Kopi Nisang Asli yang membuatkan Nur Nadirah Syuhadah tidak menang tangan melayan pelanggan.
“Tidak lama selepas itu, saya mempelbagaikan jualan produk makanan berasaskan nisang seperti ‘colek pelam’ (hirisan mangga dicicah sos yang diadun nisang), waffle, kunafa dan terbaharu ayam goreng Korea.
“Alhamdulillah, semua menu ini adalah ilham saya sendiri yang mencari idea bagaimana mahu menghasilkan resipi terbaik untuk memikat selera orang ramai,” katanya.
Ketika ini, syarikatnya iaitu Nachik Empire memiliki 40 pekerja anak tempatan dan beroperasi di tiga cawangan iaitu di Pasarnita, Kuala Terengganu dan Dataran Batu Putih serta Petron Padang Mengkuang di Marang.
Produk minuman dan makanan yang dijual Nur Nadirah Syuhadah bukan sahaja menjadi buruan orang awam, malah mendapat permintaan tinggi dalam kalangan orang kenamaan dan kerabat diraja Terengganu.
Kataya, kepuasan sebenarnya adalah dapat mengangkat martabat nisang sebagai manisan semulajadi dari Terengganu yang diadun dalam pelbagai jenis hidangan.
“Trend ketika ini ialah ramai usahawan menggunakan keju untuk produk jualan mereka. Ada macam-macam produk berasaskan keju dijual di seluruh negara.
“Saya pula lebih selesa menggunakan nisang sebagai ramuan utama dan ini memberi impak ekonomi yang sangat besar untuk pemilik kebun kelapa, penyadat air nira serta penduduk tempatan sekitar Marang khususnya untuk bekerja di syarikat saya,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran pula, Nur Nadirah Syuhadah berkata, antara masalah yang sering dihadapinya adalah kualiti rasa air nira yang tidak konsisten setiap hari.
“Ada ketika terlalu kelat, masin, tawar atau manis. Jadi saya perlu olah semula agar rasa semua produk yang dijual ini sentiasa sama dan seragam di semua tiga cawangan.
“Alah bisa tegal biasa, dengan pengalaman suami yang luas selama ini, dia banyak membantu saya mengekalkan kualiti air nira kelapa ini sebelum diproses menjadi nisang oleh ibu kandung dan ibu mentua saya.
“Mereka berdua adalah pembekal utama nisang untuk perniagaan saya dan saya bersyukur kesemuanya menjadi produk diminati ramai,” katanya.-UTUSAN










