EMAS, sebagai salah satu aset paling lama terus menjadi pilihan utama sebagai pelaburan jangka panjang dan pelindung nilai terhadap inflasi serta ketidaktentuan mata wang.
Minat terhadap pelaburan emas di negara ini semakin meningkat, didorong oleh kemudahan akses melalui bank, platform digital dan aplikasi teknologi kewangan atau fintech.
Namun begitu, masih ramai yang keliru tentang cara yang betul untuk melabur dalam emas, sama ada dalam bentuk fizikal, akaun emas, atau instrumen moden seperti Dana Dagangan Bursa (ETF) emas dan emas digital.
Ringgit pada minggu ini mahu membantu anda memahami tiga jenis pelaburan emas, langkah-langkah untuk memulakan pelaburan serta kelebihan dan risiko yang perlu diambil kira.
Emas Fizikal
Emas fizikal merujuk kepada pelaburan dalam bentuk logam emas sebenar yang boleh dipegang dan disimpan termasuk jongkong emas (bar), syiling emas (contohnya dinar) dan barang kemas seperti rantai, gelang dan cincin.
Kelebihan emas fizikal adalah ia merupakan aset yang nyata yang boleh dilihat, disentuh dan disimpan sendiri.
Emas fizikal menjadi pilihan semasa krisis ekonomi atau ketidakstabilan mata wang kerana ia kekal bernilai walaupun ketika sistem kewangan terganggu.
Berbanding akaun digital atau pelaburan emas maya, emas fizikal tidak bergantung kepada institusi atau platform pihak ketiga, selain mudah dijadikan cagaran untuk pembiayaan kecemasan melalui pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu.
Namun begitu, emas fizikal memerlukan tempat selamat untuk menyimpan seperti peti keselamatan di rumah atau bank kerana ada risiko kecurian.
Selain itu, perbezaan antara harga belian dan jualan boleh mencecah lima hingga 15 peratus terutamanya untuk barang kemas.
Barang kemas juga mempunyai caj tambahan (upah) yang tidak termasuk dalam nilai pelaburan sebenar emas.
Akaun emas
Akaun emas ialah satu bentuk pelaburan di mana anda membeli dan menyimpan emas dalam bentuk gram digital yang dicatat dalam akaun pelaburan bank atau institusi kewangan.
Anda tidak memegang emas secara fizikal, tetapi nilai pelaburan anda bersandarkan kepada harga emas semasa.
Beberapa bank dan institusi kewangan utama di Malaysia yang menawarkan akaun emas ini.
Kelebihan akaun emas adalah ia mudah dan cepat iaitu anda boleh membeli, menjual dan memantau harga emas secara dalam talian melalui perbankan internet atau aplikasi mudah alih.
Selain itu, pemegang akaun tidak perlu risau tentang simpanan peti keselamatan atau risiko kecurian kerana emas tidak dipegang secara fizikal.
Perbezaan harga beli dan jual juga biasanya lebih rendah berbanding emas fizikal dan modal untuk membeli emas juga lebih rendah.
Bagaimanapun, kekurangan pelaburan ini adalah emas tidak boleh dipegang secara langsung kecuali ditebus dan tidak semua akaun menawarkan penebusan emas fizikal.
Ia juga tertakluk kepada caj tersembunyi. Ada akaun yang mengenakan caj tahunan, caj transaksi atau syarat minimum baki.
Bergantung kepada Institusi, wujud risiko jika institusi yang menyimpan rekod pelaburan mengalami masalah operasi.
Emas digital
Emas digital ialah pelaburan emas melalui platform digital atau aplikasi mudah alih yang membolehkan anda membeli, menyimpan dan menjual emas dalam bentuk gram secara atas talian.
Emas ini disandarkan kepada emas fizikal sebenar yang disimpan oleh penyedia perkhidmatan.
Antara platform emas digital yang popular di Malaysia adalah HelloGold dan e-Mas oleh Touch ‘n Go eWallet.
Kelebihannya adalah akses yang mudah dan fleksibel. Anda boleh membeli emas serendah RM10 pada bila-bila masa melalui telefon pintar.
Modal permulaan rendah menjadikan emas digital sesuai untuk pelabur baru atau belia.
Selain itu, harga emas dikemaskini secara langsung dan transaksi disahkan serta-merta dan beberapa platform juga telah disahkan patuh syariah.
Kekurangan pula adalah anda tidak memegang fizikal kecuali menebusnya (dengan caj tertentu), walaupun disandarkan kepada emas sebenar.
Risiko wujud sekiranya syarikat platform menghadapi masalah kewangan atau ditutup.
Ada sesetengah tidak menawarkan penebusan emas fizikal dan jika ada melibatkan caj tambahan seperti kos penghantaran dan lain-lain.-UTUSAN










