SERDANG: JAECOO melancarkan pembaharuan jenama dan kini dikenali sebagai OMODA ꟾ JAECOO pada Pameran Automotif Malaysia 2025 (MAS2025), semalam.
Naib Presiden OMODA ꟾ JAECOO, Emily Lek berkata, pembaharuan jenama sempena ulang tahun pertamanya itu mencerminkan keyakinan terhadap pasaran dan peluang pertumbuhan di negara ini.
“Sebagai sebuah jenama dinamik yang memahami kecenderungan dan keperluan pengguna, kami bertekad untuk menambah baik cara orang ramai menikmati pengalaman bersama jenama OMODA ꟾ JAECOO.
“Berbekalkan angkatan kenderaan kami yang canggih dan berprestasi tinggi, kami berusaha membawakan pengalaman gaya hidup yang diperibadikan khas untuk pengguna selaku jenama kenderaan utiliti sukan (SUV) kegunaan lasak premium pencabar di Malaysia,” kata pada majlis pelancaran tersebut, di sini semalam.
Beliau berkata, jenama ini telah mencatatkan prestasi yang cemerlang di sepanjang tahun lalu, dengan mencapai beberapa mercu jaya penting termasuk merangkum permintaan sehingga mencecah 12,000 pendaftaran bagi SUV enjin pembakaran dalam (ICE) dan hibrid kegunaan lasak premiumnya.
Ujarnya, jenama itu juga membina rangkaian strategik yang merangkumi sebanyak 45 pengedar sah untuk menyokong para pelanggan yang semakin meningkat.
“Di peringkat antarabangsa, jenama OMODA ꟾ JAECOO telah berjaya bertapak di 42 negara dan wilayah, membuka lebih 1,300 bilik pameran global dan diyakini oleh 500,000 pengguna global.
“OMODA ꟾ JAECOO terus menjadi jenama pencabar terkemuka, menarik perhatian segmen peminat baharu termasuk generasi muda yang celik teknologi serta pemandu yang mengutamakan prestasi di bandar dan pengembara jalan lasak,” ujarnya.
Sempena pelancaran jenama yang diperbaharui ini, OMODA ꟾ JAECOO telah menarik perhatian pasaran dengan pratonton OMODA C7 Neo Crossover di MAS2025 yang bakal menggegarkan kategori Crossover segmen C di Malaysia.
Orang ramai boleh meninjau sendiri dan memandu uji rangkaian SUV sedia ada OMODA ꟾ JAECOO termasuk JAECOO J7, J7 PHEV dan OMODA 9 di MAS2025.
MAS2025 juga memberi peluang julung kali kepada orang ramai untuk memandu uji SUV JAECOO J8 sejak pratonton yang dianjurkan pada Mac lalu.
Pelanggan yang membuat tempahan bagi JAECOO J7 AWD dan 2WD di MAS2025 akan diberi pilihan sama ada menerima servis percuma untuk tempoh lima tahun pertama atau kadar pinjaman menarik pada 0.8 peratus.
Tempahan bagi JAECOO J7 PHEV akan disertakan waranti enjin dan bateri voltan tinggi lanjutan selama 10-tahun atau sehingga sejuta kilometer. – UTUSAN