PETALING JAYA: Kumpulan Syarikat ISP (ISP) melancarkan projek pembangunan industri hijau sulungnya yang dikenali sebagai ISP Victory, dengan nilai pelaburan mencecah RM80 juta.
Terletak di atas tanah industri utama seluas 10.22 ekar, projek ini merupakan langkah strategik penting yang memperlihatkan perubahan arah ISP daripada pendekatan terdahulu yang tertumpu kepada pemerolehan aset industri ‘brownfield’ (industri tapak sedia ada), kepada pembangunan infrastruktur industri baharu yang mampan dan berimpak tinggi.
ISP Victory bukan sahaja mencerminkan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan mapan, malah dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan perindustrian di wilayah selatan tanah air.
Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ISP Holding, Eric Ng berkata, projek ini bukan sekadar satu pencapaian pembinaan, ia adalah langkah transformasi bagi ISP.
“Setelah sekian lama membina portfolio industri kami melalui pemerolehan aset brownfield, kini kami melangkah yakin ke arah pembangunan pembangunan hijau untuk membentuk masa depan hartanah industri yang mencerminkan nilai-nilai kami iaitu kelestarian, kecemerlangan operasi dan visi jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Majlis yang berlangsung di tapak projek di Senai itu menandakan permulaan kepada pembangunan Gudang Logistik dan Hab Pembuatan (LWMH) pertama ISP di Selatan Malaysia.
Projek itu direka bentuk bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap ruang industri moden dan berteknologi tinggi, pembangunan LWMH ini akan merangkumi satu unit gudang logistik dan pembuatan dua tingkat dengan jumlah keluasan binaan kira-kira 263,000 kaki persegi.
Ciri utama termasuk pencahayaan cekap tenaga, susun atur tiang yang luas serta konfigurasi unit yang fleksibel untuk kegunaan penyimpanan atau pembuatan ringan, menyasarkan syarikat multinasional (MNC) dan perusahaan tempatan yang mementingkan kecekapan operasi serta pematuhan hijau.
Projek dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2027, dengan kerja-kerja pembinaan diketuai oleh SLG Construction Sdn. Bhd.
Sementara itu, Eric berkata, projek terletak dalam koridor industri Senai yang pesat membangun di Johor, pembangunan ini menawarkan keterhubungan yang sangat baik menerusi Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, serta akses yang efisien ke Pelabuhan Johor dan Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua.
“Senai juga merupakan sebahagian daripada rangka kerja Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ), yang dijangka merangsang lagi perdagangan rentas sempadan dan aktiviti industri.
“Lokasi strategik Senai, asas industri yang kian berkembang, serta jaraknya yang dekat dengan laluan logistik utama menjadikannya landasan terbaik bagi merealisasikan aspirasi industri kami” katanya.
Johor terus menjadi enjin pertumbuhan utama ekonomi Malaysia, dengan pelaburan dalam sektor logistik, pembuatan dan tenaga boleh baharu dijangka meningkat pesat di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (SEZ) dan inisiatif Johor Green Deal 2030.
Projek pembangunan hijau ISP mencerminkan respons proaktifnya terhadap seruan Malaysia untuk mencapai kelestarian dalam sektor pembinaan dan industri.
Eric berkata, berbeza dengan pembaikan brownfield, projek ini direka dengan kelestarian yang diterapkan sejak awal, dengan matlamat untuk memperoleh pensijilan GreenRE.
“Kelestarian bukan lagi pilihan. Ia adalah suatu keperluan. Dengan membina secara hijau dari hari mula, kami menetapkan piawaian baharu bagi hartanah industri di Malaysia,” katanya.
Projek ini, yang kini secara rasmi dikenali sebagai ‘ISP Victory’, merupakan sebahagian penting daripada strategi lebih luas kumpulan ISP untuk memperluas kehadirannya di sektor hartanah industri, dengan beberapa lagi pembangunan hijau yang sedang dipertimbangkan di lokasi-lokasi strategik lain di Semenanjung Malaysia. – UTUSAN