DALAM situasi kos sara hidup yang semakin meningkat, ramai rakyat Malaysia memilih pengangkutan awam, terutamanya yang tinggal di kawasan bandar sebagai alternatif lebih menjimatkan berbanding penggunaan kenderaan persendirian.
Namun begitu, masih ramai belum mengetahui cara sebenar untuk memaksimumkan penjimatan ketika menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Komuter atau Transit Aliran Bas (BRT).
Justeru, rakyat digalakkan menjadi pengguna pengangkutan awam yang bijak dan berstrategi supaya setiap sen yang dibelanjakan memberi pulangan berganda dari segi masa, tenaga dan kewangan.
Berikut adalah enam panduan untuk berjimat menggunakan pengangkutan awam berdasarkan pemerhatian penulis dan rujukan dari pelbagai laman sesawang bagi manfaat pembaca Ringgit.
Guna pas bulanan tanpa had
Bagi pengguna tegar MRT, LRT dan BRT, anda boleh memanfaatkan My50 iaitu pas perjalanan tanpa had hanya RM50 sebulan bagi warganegara dengan menggunakan kad pengenalan sahaja.
Jika anda berulang-alik setiap hari, terutamanya ke tempat kerja, ini jauh lebih menjimatkan berbanding bayaran harian.
Rancang perjalanan awal
Gunakan aplikasi seperti Moovit atau Google Maps Transit untuk merancang masa dan laluan terbaik.
Anda juga boleh mengelak waktu puncak yang bukan sahaja menjimatkan masa, malah mengurangkan kesesakan dalam tren.
Tukar kepada kad tanpa tunai
Kad seperti Touch ‘n Go akan mempercepatkan proses anda masuk ke stesen.
Penggunaan kad tanpa tunai turut membantu mengawal perbelanjaan dengan lebih berdisiplin kerana setiap transaksi direkodkan secara automatik melalui aplikasi yang disambungkan.
Manfaatkan laluan percuma
Beberapa bandar seperti Shah Alam, Putrajaya dan Kuala Lumpur menyediakan perkhidmatan bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor.
Gunakan laluan ini untuk bergerak dalam kawasan tertentu tanpa sebarang kos.
Elak pembaziran makanan dan minuman dalam perjalanan
Bawa air kosong dan makanan ringan dari rumah.
Elakkan membeli minuman mahal di stesen atau vending machine yang sering menggoda ketika lapar.
Berkongsi aplikasi dan maklumat dengan rakan
Wujudkan komuniti kecil seperti kumpulan WhatsApp atau Telegram dengan rakan sekerja atau jiran bagi berkongsi waktu tren, laluan yang tergendala atau promosi pas bulanan.
Maklumat tepat dapat membantu mengelak pembaziran masa dan wang.-UTUSAN










