WASHINGTON: Ekonomi Amerika Syarikat (AS) menguncup dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berikutan pelaksanaan tarif yang dilakukan oleh Presiden Donald Trump.
Namun, Trump tidak mengakui kemerosotan itu disebabkan oleh tindakannya, bahkan menyalahkan bekas presiden terdahulu, iaitu Joe Biden sebagai punca kepada masalah yang berlaku.
Dalam mesyuarat Kabinet di sini, Trump berkeras menyatakan penurunan pertumbuhan ekonomi AS ketika ini ‘berasal dari legasi Biden’.
“Kemerosotan ekonomi negara kita disebabkan oleh polisi yang diperkenalkan oleh Biden, bukan Trump,” katanya.
Trump berkata, di sebalik pertumbuhan yang menurun, terdapat peningkatan 22 peratus dalam pelaburan domestik kadar pada suku pertama tahun ini.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ekonomi terbesar dunia itu menurun pada kadar tahunan 0.3 peratus pada suku pertama, selepas meningkat 2.4 peratus pada bulan terakhir 2024, menurut Jabatan Perdagangan AS.
Angka itu jauh di bawah anggaran konsensus pasaran sebanyak 0.4 peratus pertumbuhan, sekali gus menandakan penguncupan suku pertama sejak 2022.
Jabatan Perdagangan AS menyatakan, penguncupan itu sebahagian besarnya melibatkan peningkatan import, selain penurunan perbelanjaan pengguna dan kerajaan.
Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt senada dengan Trump apabila menuduh polisi pentadbiran Biden menyebabkan ekonomi AS menurun.
“Tidak menghairankan ‘sisa bencana ekonomi’ daripada pentadbiran Biden menyebabkan penguncupan ekonomi AS,” katanya.
Petunjuk KDNK itu dikeluarkan pada hari ke-101 sejak Trump kembali ke Rumah Putih pada 20 Januari lalu bersama data yang jelas menunjukkan kelembapan ekonomi AS.
Menerusi pentadbiran kedua, Trump mengumumkan beberapa pusingan tarif menyaksikan ekonomi dunia menjadi tidak menentu.
Pengenalan tarif itu juga menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran saham dunia. – AFP