Enam warga AS ditahan cuba hantar Bible ke Korea Utara

Enam warga AS ditahan cuba hantar Bible ke Korea Utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Polis Korea Selatan menahan enam warga Amerika yang cuba menghantar botol plastik berisi beras dan Bible ke Korea Utara.

Menurut polis tempatan, semua mereka ditahan ketika sedang berusaha menghantar ribuan botol plastik yang diisi dengan beras, wang kertas satu dolar dan Bible ke laut berhampiran Pulau Ganghwa.

“Kami menahan dan sedang menyoal siasat enam warga Amerika berusia antara 20-an hingga 50-an atas dakwaan melanggar Akta Rangka Kerja Pengurusan Bencana dan Keselamatan.

“Kesemua warga Amerika tersebut tidak boleh berbahasa Korea, jadi kami menyediakan jurubahasa untuk mereka dan siasatan telah pun dimulakan,” kata ketua pasukan penyiasat Balai Polis Ganghwa di Incheon.

Terletak di barat laut Seoul, Pulau Ganghwa merupakan salah satu wilayah Korea Selatan yang paling hampir dengan Korea Utara, dengan sebahagian kawasan laut di sekitarnya hanya terletak kira-kira 10 kilometer dari sempadan maritim antara kedua-dua negara.

Pulau itu sudah lama menjadi lokasi popular bagi pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dan kumpulan anti-Korea Utara untuk melancarkan botol plastik berisi beras, termasuk pemacu USB yang mengandungi muzim K-pop dan drama Korea Selatan.

Kawasan tersebut diisytiharkan sebagai zon bahaya pada November lalu, bersama beberapa kawasan sempadan lain yang sering menjadi lokasi pelancaran belon membawa risalah propaganda.

Pada ketika itu, kerajaan menyatakan bahawa aktiviti sedemikian boleh dianggap provokatif oleh Korea Utara.

Pada 2024, kedua-dua Korea terlibat dalam perang propaganda, apabila Utara menghantar ribuan belon berisi sampah ke arah selatan, sebagai tindakan balas terhadap belon propaganda yang dilancarkan oleh aktivis Korea Selatan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN