BEKERJA lebih daripada satu pekerjaan, siang dan malam, namun pendapatan masih tidak mencukupi, inilah realiti yang dihadapi oleh ramai individu masa kini, khususnya di kawasan bandar.
Ramai sanggup mengorbankan masa rehat, masa bersama keluarga dan juga kesihatan demi menambah pendapatan, namun pulangan yang diterima sering kali tidak setimpal dengan usaha dicurahkan.
Pada minggu ini, Ringgit berkongsi panduan untuk membantu anda menilai semula potensi diri dan mencari pendekatan baharu bagaimana nilai diri boleh diterjemahkan kepada sumber pendapatan yang lebih berkesan dan mampan.
Lihat semula kemahiran anda
Senaraikan apa kemahiran yang anda ada seperti menulis, edit video, buat kek, design poster atau ajar orang sesuatu, semua itu ada nilai kalau dikembangkan.
Tak semestinya anda kena jadi pakar serta-merta, cukup jika anda mula ambil langkah pertama untuk asah kemahiran itu supaya suatu hari nanti, ia boleh jadi sumber rezeki tetap.
Sekarang, ada banyak platform yang boleh bantu anda belajar kemahiran baharu secara percuma atau murah seperti YouTube atau TikTok.
Fokus pada satu bidang dan mahirkan diri
Daripada buat pelbagai kerja kecil yang tidak mendatangkan hasil jangka panjang, lebih baik anda fokus pada satu kemahiran dan jadi betul-betul mahir dalam bidang itu.
Contohnya, kalau anda minat memasak dan sering terima pujian, mungkin boleh mula dengan ambil tempahan kecil, belajar cara pembungkusan dan lama-lama kembangkan ke bisnes sendiri.
Bila anda jadi pakar dalam satu bidang, orang bukan saja sanggup bayar lebih, malah akan cari anda sendiri tanpa perlu anda promosi terlalu banyak.
Jangan takut tukar strategi
Jika pekerjaan kedua anda sekarang hanya menambahkan keletihan tanpa pulangan yang setimpal, itu mungkin petanda sudah tiba masanya untuk menukar strategi dengan mengubah pendekatan, bukan menambah kerja.
Mungkin anda boleh pertimbangkan kerja dari rumah, freelancing, bisnes kecil-kecilan atau berkongsi ilmu di media sosial untuk tarik pelanggan.
Apa pun jalannya, matlamatnya adalah mencari pendapatan yang lebih pintar, bukan sekadar kerja lebih masa.
Belajar hargai diri sendiri
Ramai orang takut letak harga tinggi kerana rasa diri belum cukup bagus, sedangkan pelanggan yang betul sebenarnya sanggup bayar untuk hasil kerja yang berkualiti dan boleh dipercayai.
Belajar nilai masa, tenaga dan bakat anda kerana semakin anda hargai diri sendiri, semakin tinggi orang lain akan menghargai anda.
Serlahkan nilai anda
Kalau anda ada hasil kerja yang baik, kongsikan secara konsisten di media sosial atau platform portfolio seperti Instagram, LinkedIn atau portal yang menunjukkan kejayaan anda.
Sertakan testimoni daripada pelanggan, hasil kerja terbaik atau cerita kejayaan kecil anda supaya orang nampak kredibiliti dan kelebihan anda berbanding orang lain.
Dengan cara ini, anda tak perlu lagi kejar banyak kerja, kerana satu peluang yang betul-betul bernilai sudah cukup untuk beri pulangan yang memuaskan.
Jangan sandarkan semua pada satu sumber pendapatan
Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, bergantung kepada satu sumber sahaja boleh menjadikan kewangan anda rapuh dan berisiko.
Mencipta aliran pendapatan kedua seperti menjual produk digital, membuat kerja sambilan dalam talian atau melabur secara berhemah boleh menjadi langkah bijak untuk jangka panjang.
Apa yang penting, pastikan sumber tambahan itu bersesuaian dengan minat, masa dan kemampuan anda agar tidak membebankan.
Urus masa dengan lebih berkesan
Ramai yang penat bukan kerana kerja terlalu banyak, tetapi kerana masa tidak diurus dengan baik.
Cuba susun rutin harian, asingkan masa untuk kerja utama, kerja sambilan dan juga masa rehat agar anda kekal produktif dan tidak mudah burn out.
Dengan pengurusan masa yang lebih tersusun, anda boleh menambah pendapatan tanpa mengorbankan kualiti hidup.
Jangan abaikan rehat dan kesihatan
Dalam usaha mengejar pendapatan lebih, kesihatan sering kali menjadi perkara terakhir yang diambil kira.
Hakikatnya, tanpa tubuh badan yang sihat, anda tidak mampu bekerja dengan baik, malah boleh menanggung kos rawatan yang lebih tinggi di kemudian hari.
Jadikan rehat dan penjagaan diri sebagai sebahagian daripada pelaburan jangka panjang untuk kelangsungan kewangan anda.-UTUSAN