PETALING JAYA: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan sejajar dengan prestasi kukuh pasaran saham global, didorong oleh perkembangan positif dalam rundingan tarif di Amerika Syarikat (AS) serta jangkaan bahawa bank pusat utama, termasuk Rizab Persekutuan (Fed), akan melonggarkan dasar monetari menerusi pengurangan kadar faedah.
Sentimen pasaran turut disokong dengan harapan bahawa langkah dasar tersebut dapat merangsang pertumbuhan ekonomi global yang lebih stabil.
Pada penutup dagangan semalam, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 24.66 mata kepada 1,540.22 berbanding 1,515.56 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras dibuka tinggi pada 1,518.07.
Jumlah dagangan sebanyak 2.56 bilion unit bernilai RM2.25 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 559 berbanding 364 dengan 459 kaunter tidak berubah dan 1,037 tidak diniagakan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid bagaimanapun berkata, hakikatnya, situasi tarif ini masih lagi belum menemui jalan penyelesaian.
“Tekanan AS terhadap China dilihat kurang berkesan dan sekaligus memberi gambaran adakah ia akan membawa ketegangan perdagangan yang berterusan.
“Justeru, sentimen pasaran dijangka akan terus berhati-hati dalam jangkamasa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, peningkatan ini hasil sokongan belian kaunter terpilih yang berkaitan dengan indeks komposit.
“Ini didorong oleh belian terpilih oleh pelabur institusi kerana beberapa minggu lepas harga saham berada pada paras yang rendah tetapi stabil.
“Jangkaan minggu ini dan minggu depan indeks akan berada pada paras 1,510 hingga 1,530.
‘Bagaimanapun, volum masih rendah kerana tiada petunjuk baru yang signifikan nampaknya,” katanya.-UTUSAN










