PETALING JAYA: Pengusaha produk makanan, Bawang Goreng Atin meraih peningkatan sehingga 300 botol sebulan selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 16 Jun 2024.
Pengarah Abad Jaya Enterprise, Siti Fanizam S. Mohsain berkata, permohonan pensijilan halal telah dilakukan sejak awal tahun.
“Selepas memperoleh sijil halal saya juga berpeluang memasuki pasar raya yang dilihat meletakkan pensijilan halal sebagai satu syarat.
“Malah lebih dari itu, produk bawang goreng saya telah menyertai ekspo makanan halal memudahkan proses untuk mendapatkan pensijlan lain seperti MeSTI,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Siti Fanizam, pensijilan yang diterima juga dapat meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan produknya di mata pelanggan.
“Pengesahan halal membantu memastikan bahawa semua bahan yang digunakan tidak mengandungi unsur haram seperti babi atau alkohol dan proses penyediaan juga mematuhi garis panduan yang ketat.
“Saya percaya halal juga sebagai tanda jaminan bahawa produk tersebut memenuhi standard yang tinggi dari segi kebersihan, keselamatan dan kepatuhan kepada prinsip Halalan Toyyiban,” katanya yang kini mempunyai tujuh orang pekerja.
Dia yang menjalankan perniagaan sejak 2019 itu menjual produk Bawang Goreng Atin itu pada harga RM22.90 (200 gram) dan RM13.90 (100g) satu botol.
Siti Fanizam berkata, kini produk keluarannya telah memasuki pasar raya seperti Warda Mart JB, Seehat store Nilai, Rumah Bawang Lukut, Petron Ayer Keroh, Kipmall Bangi, Asar Halal Mart Melaka dan Halal Mart Nilai.
Dia turut menasihatkan kepada usahawan lain dengan perakuan halal mempunyai pasaran besar dan sijil halal diterima baik di peringkat antarabangsa dan pengusaha Islam tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah konvensional.
“Walaupun produk makanan tertentu adalah halal dari segi perspektif syariah dalam Islam, ia mungkin tidak akan diberikan sijil halal kerana ia tidak melepasi pemeriksaan dari segi toyyiban,” katanya.-UTUSAN










