Untung bersih Bursa Malaysia jatuh kepada RM68.4 juta

Untung bersih Bursa Malaysia jatuh kepada RM68.4 juta suku pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mencatatkan keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM68.4 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2025, turun 8.8 peratus berbanding RM75.0 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh penyusutan 1.7 peratus dalam hasil operasi kepada RM177.7 juta pada daripada RM180.7 juta pada suku pertama 2024.

Dalam masa yang sama, jumlah perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 6.7 peratus kepada RM92.9 juta pada tempoh tersebut berbanding RM87.1 juta pada suku sama tahun lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, kenaikan ini berpunca daripada peningkatan kos teknologi dan langganan, susulan pelancaran platform Centralised Sustainability Intelligence (CSI) pada Jun 2024.

“Suku pertama 2025 merupakan tempoh yang mencabar bagi pasaran global yang terkesan oleh faktor luaran yang menjejaskan prestasi pasaran ekuiti. 

“Namun begitu, pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh serta hala tuju dasar kerajaan yang jelas, termasuk pelan hala tuju nasional dalam sektor pertumbuhan utama.

“Kami turut didorong oleh momentum penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) yang kukuh, dengan 16 penyenaraian direkodkan setakat ini, meletakkan bursa di landasan yang betul untuk mencapai sasaran tahunan sebanyak 60 IPO,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, bagi suku semasa, hasil operasi bagi Pasaran Sekuriti menurun berikutan penurunan hasil dagangan. 

“Purata nilai dagangan harian (ADV) bagi Dagangan Pasaran Terbuka (OMT) dan Dagangan Perniagaan Langsung (DBT) menyusut sebanyak 11.9 peratus kepada RM2.8 bilion pada suku pertama 2025 daripada RM3.2 bilion pada suku pertama 2024. 

“Kadar dagangan juga menurun sebanyak enam mata peratus kepada 33 daripada 39 peratus pada suku pertama 2024. 

“Selain itu, terdapat dua hari dagangan lebih sedikit dalam suku pertama 2025 berbanding suku pertama 2024 yang turut menyumbang kepada penyusutan hasil,” katanya. 

Bagi Pasaran Derivatif, hasil dagangan meningkat 13.7 peratus kepada RM28.9 juta dalam suku pertama daripada RM25.4 juta pada suku sama 2024, didorong oleh peningkatan purata kontrak harian (ADC) bagi niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO). 

Hasil yuran persidangan dan pameran juga meningkat sebanyak 12.1 peratus kepada RM7.1 juta berbanding RM6.4 juta, disokong oleh penyertaan lebih tinggi dalam Persidangan dan Pameran Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC).

Bagi Pasaran Islam, hasil operasi mencatat peningkatan 23.0 peratus kepada RM5.5 juta daripada RM4.5 juta pada suku pertama 2024, dipacu oleh peningkatan hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) kepada RM4.9 juta. 

Pendapatan daripada Bursa Gold Dinar turut meningkat kepada RM0.6 juta daripada RM0.2 juta dan segmen perniagaan data terus menunjukkan momentum pertumbuhan dengan peningkatan 2.1 peratus kepada RM19.4 juta daripada RM19.0 juta.

Mengenai tinjauan pasaran,Fad’l berkata, Bursa Malaysia kekal komited memperkukuh daya tahan pasaran melalui inisiatif libat urus berterusan dan penawaran produk yang lebih baik. 

Katanya, ini disebalik berdepan ketidaktentuan pasaran global seperti ketegangan geopolitik, dasar perdagangan dan monetari Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan harga komoditi terus mempengaruhi sentimen pelabur.

“Usaha ini diharapkan dapat membantu mengekalkan aktiviti dagangan yang sihat. Kami juga akan terus memperluas akses pelabur melalui kerjasama dengan rakan industri serta memperkukuh prestasi kemampanan dan daya saing pasaran,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN