PETALING JAYA: Sapura Energy Berhad (SEB) mengumumkan perniagaan Vessel Sokongan Luar Pantai dan Geosains di bawah bahagian Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) dianugerahkan beberapa kontrak di Malaysia dan Thailand dengan nilai keseluruhan hampir RM100 juta.
Menurut kenyataan, kontrak-kontrak tersebut akan memastikan kapal kerja penginapan dan kapal geosurvey miliknya terus beroperasi dalam tempoh yang berpanjangan sepanjang tahun kewangan 2026.
“Kontrak-kontrak itu termasuk penyewaan dua kapal kerja berkapasiti 200 penumpang, KPV Redang dan Sapura Duyong, bagi menyokong operasi luar pantai di Malaysia Timur.
“Kontrak untuk KPV Redang bermula pada Februari untuk tempoh setahun, dengan pilihan lanjutan selama satu tahun.
“Sementara itu, kontrak untuk Sapura Duyong bermula pada Mac dan berlangsung selama lapan bulan dengan pilihan lanjutan dua bulan lagi,” katanya.
SEB berkata, kapal kerja penginapan 200 penumpang milik OSV, Sapura Aman memperoleh penyewaan selama 245 hari dengan pilihan lanjutan selama 90 hari bersama sebuah pengendali tempatan.
“Anak syarikat SEB, Sapura Offshore Sdn. Bhd., juga telah mengguna khidmat kapal kerja penginapan 300 penumpang OSV, Sapura 300, untuk tempoh 30 hari.
“Kedua-dua vessel ini akan menyediakan perkhidmatan penginapan kepada kru luar pantai di Malaysia,” ujarnya.
Di Thailand, SEB telah dianugerahkan kontrak bagi menyediakan perkhidmatan penggerudian tanah geoteknikal menggunakan Sapura Wira bagi menyokong aktiviti penggerudian di medan Rossukon di Teluk Thailand.
Kontrak itu diperoleh selepas kejayaan menyiapkan satu lagi projek di Thailand dan dijangka akan selesai dalam beberapa minggu akan datang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif bahagian Operasi dan Penyelenggaraan Sapura Energy, Nasri Mehat berkata, penganugerahan kontrak itu mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap keupayaan Sapura Energy dalam menyediakan perkhidmatan sokongan luar pantai yang boleh dipercayai.
“Pada tahun kewangan 2025, syarikat mencapai tahap kecekapan operasi sebanyak 99 peratus untuk semua vessel sokongan luar pantai kami dan mengekalkan rekod keselamatan cemerlang, dengan sifar Insiden Boleh Direkodkan dan sifar Insiden Kehilangan Masa (LTI).
“Banyak vessel kami telah mengekalkan rekod sifar LTI selama bertahun-tahun. Sebagai contoh, KPV Redang telah beroperasi dengan selamat selama 16 tahun tanpa sebarang insiden.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan operasi dan keselamatan, dan kami berazam untuk terus mengekalkan pencapaian ini,” katanya.
Minggu lalu, SEB melalui anak syarikatnya, Sapura Fabrication Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak untuk perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian untuk kemudahan luar pesisir di Semenanjung Malaysia yang bernilai RM40 juta. – UTUSAN