PETALING JAYA: Pengeluar kenderaan dan pembekal alat ganti dari China dijangka mengalihkan fokus perniagaan ke rantau yang mesra tarif seperti Asia Tenggara, dengan Malaysia berpotensi menjadi penerima manfaat utama selepas berdepan kadar tarif yang tinggi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
CIMB Securities berkata, peralihan itu boleh membawa kepada lonjakan import kenderaan dan komponen dari China yang ditawarkan pada harga yang sangat kompetitif bagi mengurangkan lebihan kapasiti.
“Kemasukan ini dilihat memberi manfaat kepada pengguna untuk jangka pendek dengan menyediakan lebih banyak pilihan, akses kepada teknologi kenderaan elektrik (EV) yang canggih, serta pilihan yang lebih mampu milik tetapi ia juga meningkatkan tekanan persaingan ke atas syarikat tempatan.
“Jenama dari Jepun, Korea Selatan dan Eropah yang beroperasi di Malaysia sudah pun merasai tekanan, apabila jenama China seperti BYD dan Chery memasuki pasaran dengan ciri-ciri canggih, kelebihan kos berdasarkan skala, dan strategi harga yang agresif,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu percaya, jenama nasional seperti Perodua berada dalam kedudukan baik untuk mempertahankan dan berkemungkinan mengembangkan lagi bahagian pasaran mereka.
Katanya, kelebihan daya saing Perodua terletak pada harga yang mampu milik dan kandungan tempatan yang tinggi, yang membantu melindungi jenama tersebut daripada turun naik kos import dan pergerakan mata wang.
“Keupayaannya untuk mengekalkan harga yang stabil merupakan kelebihan besar apabila pengguna di Malaysia menjadi semakin peka terhadap kos.
“Perodua berpotensi meraih lebih banyak manfaat sekiranya pembeli yang sebelum ini mempertimbangkan jenama asing memilih alternatif tempatan yang lebih menjimatkan,” katanya.
Sementara itu, CIMB Securities turut menjangkakan kesan langsung yang minimum daripada dasar tarif timbal balik yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump, memandangkan jumlah eksport Malaysia bagi kenderaan lengkap dan alat ganti adalah terhad.
Namun begitu, ia menjangka kesan tidak langsung akan timbul daripada inflasi import, tekanan kos operasi, dan kemungkinan kelembapan dalam permintaan pengguna.
“Konflik tarif yang berpanjangan dan sebarang kelemahan pada nilai ringgit boleh meningkatkan harga bagi kit CKD, komponen, dan kenderaan siap import.
“Ketidaktentuan mata wang boleh menekan margin dan menyebabkan peningkatan kos input, sekali gus memaksa pengeluar sama ada menanggung kos tersebut atau memindahkannya kepada pengguna,” katanya.
Secara keseluruhan, CIMB Securities mengekalkan penarafan “neutral” ke atas sektor automotif berikutan unjuran pertumbuhan sederhana di tengah-tengah persaingan pasaran yang semakin sengit. – UTUSAN