Industri takaful berdepan risiko kerugian RM800 juta - Utusan Malaysia

Industri takaful berdepan risiko kerugian RM800 juta

MOHD. Radzuan Mohamed (kanan) bersama Wan Saifulrizal Wan Ismail (kiri) ketika taklimat media Prestasi Industri Takaful 2024 di KLGCC, di sini hari ini. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri takaful berpotensi kerugian sebanyak RM800 juta berikutan langkah sementara yang mengehadkan peningkatan premium tahunan bagi produk insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) pada 10 peratus bagi lebih 80 peratus pemegang polisi untuk tempoh tiga tahun akan datang, menurut Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd. Radzuan Mohamed berkata, had yang bertujuan meringankan beban kewangan pemegang polisi itu turut memberikan cabaran besar kepada industri.

“Kami memahami kebimbangan orang ramai terhadap kenaikan premium, namun isu asasnya ialah peningkatan kos rawatan perubatan.

“Untuk menampung kos yang semakin meningkat ini, pelarasan premium adalah perlu,” katanya selepas taklimat media mengenai prestasi industri takaful bagi 2024, di sini hari ini.

Malaysia kini berada di tangga ketiga tertinggi dalam inflasi perubatan di Asia, yang turut menyumbang kepada peningkatan kos insurans perubatan.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis langkah-langkah BNM akan menggalakkan pembangunan penyelesaian perubatan yang lebih mampu milik dalam industri.

“Kami berharap akan ada lebih banyak inisiatif yang membawa kepada pendekatan inovatif untuk menjadikan perlindungan perubatan lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Langkah sementara BNM yang berkuat kuasa sehingga akhir 2026 bertujuan mengimbangi keperluan perlindungan kesihatan yang mampu milik bagi pengguna dengan kelestarian kewangan penyedia insurans dan takaful.

Mengulas mengenai cabaran inflasi perubatan yang dijangka meningkat sehingga 30 peratus tahun ini, beliau berkata, industri menyokong langkah sementara oleh BNM untuk mengehadkan kenaikan sumbangan dan memastikan pelan takaful perubatan yang lebih mampu milik.

“Reformasi struktur penjagaan kesihatan sedang dijalankan dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan yang memberi tumpuan kepada ketelusan harga, sistem pembayaran yang cekap, perluasan akses kepada penjagaan kesihatan awam dan penciptaan pilihan perlindungan kos rendah bagi memastikan kelestarian.

“Isu berkaitan kesihatan perubatan dalam industri takaful dan konteks Malaysia adalah kompleks dan saling berkait.

“BNM telah mengambil inisiatif dan menyediakan panduan untuk memastikan kestabilan pasaran. Mereka menyediakan garis panduan tentang kenaikan yang mungkin berlaku dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Ini diharap dapat membantu orang ramai merancang dan mengurus keperluan mereka dengan lebih baik,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat keperluan untuk penyesuaian harga, terutamanya bagi golongan warga emas.

“Dalam pengendalian takaful, kita perlu mencari kaedah untuk menyeimbangkan kos dan memberikan alternatif yang mampu milik kepada pengguna.

“Kami bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk BNM untuk merangka pelan jangka panjang. Kami juga sedang menilai semula struktur dan pelaksanaan reformasi demi menjamin kelestarian sistem,” katanya.

Antara lima teras utama dikenal pasti sebagai asas kepada pembaharuan itu termasuk ketelusan harga di mana hospital digalakkan untuk mendedahkan kos sebenar bagi prosedur biasa dan ubat-ubatan bagi mengelakkan caj berlebihan yang tidak munasabah, mekanisme pembayaran lebih cekap dengan pengenalan sistem pembayaran berasaskan kumpulan Diagnosis Berkaitan (DRG) dan pengenalan penyelesaian perubatan mampu milik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya