Hanya 287 lori masuk sehari, bantuan ke Gaza kritikal

Hanya 287 lori masuk sehari, bantuan ke Gaza kritikal

Kanak-kanak Palestin yang kebanyakannya hilang tempat tinggal berkumpul di kawasan sekolah Deir al-Balah di bawah Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza bagi menyambung persekolahan mereka. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah bantuan kemanusiaan yang memasuki Semenanjung Gaza kini berada pada tahap kritikal dan jauh daripada mencukupi untuk menampung keperluan mendesak penduduk.

Kedutaan Palestin memberitahu Utusan Malaysia, purata harian kemasukan lori sejak beberapa minggu lalu hanyalah 287 buah, jauh lebih rendah berbanding keperluan minimum 1,000 buah sehari.

“Lebih membimbangkan, kira-kira 41 peratus daripada lori tersebut adalah penghantaran komersial yang membawa barangan bukan keperluan asas, bukannya bekalan bantuan kecemasan yang amat diperlukan,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya lagi, penurunan mendadak bekalan penyelamat nyawa seperti makanan, air, ubat-ubatan dan bahan perlindungan menyebabkan ribuan keluarga berdepan kesengsaraan hidup setiap hari termasuk pendedahan kepada cuaca sejuk melampau, kelaparan serta ancaman penyakit berjangkit.

Menurut bakal duta besar negara itu, Jihad Fouad Al-Qudra, setakat ini beliau tidak dapat memberi sebarang kenyataan rasmi kepada pihak media sehinggalah watikah pelantikannya dipersembah secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Penolong Ketua Jabatan Advokasi dan Penerbitan, Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nur ‘Afifah Mohamad Yasin berkata, walaupun gencatan senjata diumumkan, rejim Zionis masih tetap melancarkan serangan ke seluruh wilayah Gaza tanpa pengecualian.

Katanya, serangan yang menyasarkan kawasan kediaman dan laluan bantuan itu membuktikan Israel langsung tidak mematuhi komitmen penghentian tembakan, malah turut membedil timur Khan Younis serta mencederakan penduduk awam di utara Gaza.

“Selain serangan fizikal, wujud campur tangan rejim dalam mengganggu agihan bantuan apabila mereka didapati mempersenjatai kumpulan anti-Hamas yang diketuai Yaser Abu Shabab untuk merompak bekalan kemanusiaan.

“Walaupun ketua kumpulan itu dilaporkan mati akibat ditembak, saki-baki kumpulannya berikrar meneruskan agenda kejam tersebut yang jelas menindas penduduk Gaza yang sedang kebuluran,” katanya.

Mengulas mengenai situasi ekonomi semasa, beliau memaklumkan harga barangan di pasaran Gaza mencatatkan sedikit penurunan dan memberi ruang kecil kepada NGO untuk membeli lebih banyak bekalan, namun harganya masih di luar kemampuan majoriti keluarga.

Menurutnya, kekejaman rejim tidak terhad di Gaza, sebaliknya semakin memuncak di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis menerusi siri penahanan rambang, perobohan kediaman serta serangan peneroka haram terhadap kanak-kanak Palestin.

“Perkembangan ini menunjukkan Israel bergerak memperluaskan jajahannya dan kawalan ekonomi di seluruh tanah Palestin tanpa menghormati sebarang undang-undang antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×