KUALA LUMPUR: Hannah Food & Beverages (Hannah F&B), syarikat tempatan yang terkenal dengan produk Crispy Toast dan Hannah Fruit Cake, terus mengukuhkan jenamanya di pasaran selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengurus Hannah Food & Beverages, Siti Hafsah Rosli berkata, syarikat itu memulakan operasi pada 2021 sebelum memperoleh sijil halal pertamanya pada April 2022.
“Proses mendapatkan sijil halal memerlukan pematuhan ketat terhadap syarat asas seperti sistem kebersihan dan kawalan makanan yang baik. Permohonan dilakukan secara dalam talian, diikuti audit serta pemeriksaan premis oleh pihak berkuasa sebelum sijil diluluskan.
“Pensijilan halal bukan sekadar keperluan agama, malah strategi perniagaan yang bijak untuk meningkatkan kepercayaan pelanggan dan membuka peluang pasaran lebih luas.
“Pengiktirafan ini juga membolehkan produk kami menembusi pasar raya utama serta memudahkan perniagaan memperoleh pensijilan lain seperti MeSTI dan Amalan Pengilangan Baik (GMP). Ia juga membuka pintu kepada peluang eksport ke luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Siti Hafsah berkata, impak terbesar selepas memperoleh sijil halal adalah peningkatan jualan dan keyakinan pelanggan, selain memudahkan akses kepada bantuan dan insentif kerajaan.
“Tetapi tidak dinafikan cabaran dalam mendapatkan sijil halal, termasuk keperluan untuk membuat pelaburan bagi pengubahsuaian premis, pemilihan bahan mentah yang mematuhi piawaian halal serta latihan pekerja.
“Selain itu, proses dokumentasi yang kompleks juga menjadi antara cabaran utama, memerlukan penyediaan pelbagai dokumen sebelum kelulusan diberikan,” katanya.
Mengenai rancangan masa depan, Siti Hafsah mendedahkan bahawa Hannah F&B sedang merancang untuk menembusi pasaran luar negara, dengan Singapura sebagai destinasi pertama.
Katanya, sijil halal bukan sekadar keperluan, tetapi juga satu kelebihan kompetitif yang membolehkan syarikat berkembang pesat dalam industri makanan.
“Kami memilih Singapura kerana dokumentasi dan kepatuhan regulasi di sana lebih mudah. Namun, sebelum memasuki pasaran luar, kami perlu memastikan negara sasaran mengiktiraf sijil halal Jakim.
“Sijil halal bukan sekadar dokumen, tetapi merupakan pemacu utama kejayaan perniagaan dalam jangka panjang,” katanya.-UTUSAN










