Richiamo Coffee bakal tembusi pasaran Australia, Uzbekistan

Richiamo Coffee bakal tembusi pasaran Australia, Uzbekistan

MUHAMAD Zamry Abu Samah ketika ditemui di ibu pejabatnya di Rawang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

RANGKAIAN kedai kopi premium milik syarikat bumiputera, Richiamo Coffee dilihat semakin berkembang di seluruh negara. 

Lebih membangggakan, rangkaian kedai kopi itu kini sudah memasuki tahun ke-10 dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) itu kini setanding produk antarabangsa.

Kejayaan itu memperlihatkan produk keluaran tempatan mampu bersaing dengan syarikat rangkaian kopi antarabangsa yang telah kukuh di pasaran sebelum ini.

Baru-baru ini, Wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi dan jurugambar, M. Firdaus Johari berpeluang menembual Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah di ibu pejabatnya di Rawang, Selangor. 

UTUSAN: Boleh kongsi permulaan perniagaan dalam bidang F&B?

MUHAMAD ZAMRY: Richiamo Coffee ini bermula pada 2015.  Cawangan yang pertama kami adalah pada 2016 dan 2025 ini merupakan tahun ke-10 kami menjalankan operasi rangkaian kopi di seluruh negara. 

Malah, selepas itu, kami meneroka peluang baharu dengan membuka Richiamo Mart pada bulan Mei tahun lalu dan semakin berkembang. 

Setakat ini berapa jumlah cawangan Richiamo Coffee dan Richiamo Mart?

Sehingga kini, kami mempunyai 220 cawangan Richiamo Coffee dan Richiamo Mart telah berkembang sehingga 10 cawangan. 

Bagaimanapun, terdapat 10 cawangan Richiamo Coffee yang masih dalam pengubahsuaian dan keseluruhannya pada tahun ini terdapat 19 cawangan.

Bagaimana pihak Richiamo mahu mengembangkan perniagaan? 

Kita dapat beberapa prospek di beberapa pameran dan Insya Allah pada Julai 2025, kami akan buka cawangan di Melbourne, Australia. 

Pada Februari lalu, Richiamo juga telah menandatangani beberapa kerjasama dengan Uzbekistan dengan pelaburan dijangka dalam RM110 juta. 

Selain itu, bagi produk, Richiamo sedang mengorak langkah menyediakan campuran kopi pra sedia seperti mocha, latte serta white coffee. 

Kami juga sedang membangunkan produk Ready To Eat (RTE) dengan pelbagai menu termasuk daging dendeng, kari kambing, sambal sotong dan kerjasama dengan jenama lain Hadramawt iaitu Mandy Kambing, Mandy Ayam supaya pelanggan mempunyai pilihan.

Bagaimana syarikat memastikan Richiamo kekal relevan dan kepelbagaian menu yang ditawarkan?

Saya yakin sambutan amat menggalakkan kerana produk yang kami tawarkan lebih banyak produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rangkaian Richiamo. 

Sehingga kini,  Richiamo sudah mempunyai 220 unit penyimpanan stok (SKU) datang dari pihak IKS dan PKS. 

Pada masa yang sama, kami ada bekerjasama dengan jenama antarabangsa. 

Seperti di Richiamo Mart, kami menawarkan pilihan kepada pelanggan produk makanan dari Mohd. Chan Abdullah seperti pau dan dimsum,  beberapa jenama Hadramawt serta jenama Delima emas ayam organik (ayam sejuk beku) nugget serta sosej. 

Boleh kongsikan lokasi Richiamo Coffee di institusi pengajian tinggi dan hospital ketika ini?

Kebanyakan 220 cawangan di rumah kedai. Rangkaian kami berada di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (ipta dan ipts).

Richiamo juga telah mengorak langkah dengan pembukaan cawangan di KL Sentral dan Terminal Bersepadu Gombak.

Malah, Richiamo juga sudah menembusi pasaran di hospital termasuk Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, UiTM Sungai Buluh, KPJ Tawakal Jalan Pahang, KPJ Kangar, KPJ Ampang Puteri dan Hospital Avisena Shah Alam di bahagian wanita dan kanak-kanak dan terbaharu di Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Bagaimana syarikat mahu memastikan Richiamo Coffee terus kekal relevan pada masa hadapan? 

Jenama Richiamo masih mengekalkan kafe nombor satu tempatan yang menyediakan makanan tempatan.

Dimana kami, membawa jenama Richiamo untuk terus menjadi tarikan orang tempatan dan pelancong asing kerana, mereka bukan sahaja menikmati kopi, pastri namun, mereka akan mendapatkan produk makanan seperti rendang maman dan ikan patin tempoyak.

Malah, kami juga menawarkan harga yang berpatutan sesuai kepada seluruh rakyat Malaysia. 

Kami akan terus mempertahankan makanan tempatan dan menjadikan, Richiamo Coffee sebagai satu pusat hentian kepada pelancong dalam dan luar negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN