Larrie Corporation sasar pasaran antarabangsa

Larrie Corporation sasar pasaran antarabangsa

LENSON CHONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Larrie Corporation, jenama fesyen kasut yang telah bertapak di Malaysia sejak 1978, kini memperluaskan operasi ke pasaran antarabangsa dengan fokus terhadap e-dagang dan produk inovatif.

Pengarah Pemasaran Larrie Corporation, Lenson Chong berkata, syarikat itu telah mengalami pelbagai cabaran, terutamanya dengan perubahan landskap perniagaan akibat pertumbuhan pesat e-dagang dan menembusi pasaran antarabangsa, yang memerlukan pemahaman budaya dan bahasa yang berbeza. 

Beliau berkata, Larrie kini telah beroperasi di Indonesia, Singapura dan Kemboja dan rancak mengembangkan pasaran ke Singapura, Filipina serta China.

“Sebelum ini, perniagaan kami tertumpu hanya di pasar raya, namun kini kami telah beralih kepada platform dalam talian seperti Shopee dan TikTok yang berkembang pesat.

“Syarikat juga sedang merancang untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat pada masa hadapan dan akan mencari pakar bagi setiap negara untuk memastikan kejayaan Larrie di peringkat global,” katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Larrie.

Dari segi sasaran kewangan, Larrie menyasarkan peningkatan pendapatan antara 10 hingga 20 peratus tahun ini, dengan strategi utama tertumpu pada penawaran produk berkualiti tinggi dan inovasi.

Dalam perkembangan produk, Lenson Chong berkata, tapak dalam (insole) kasut keluaran Larrie menjadi satu daripada keunikan utama syarikat kerana dilengkapi fungsi antibakteria yang membantu mengurangkan bakteria dan kulat, sekali gus menjadikan pemakai lebih selesa dan sihat.

Menurutnya, selain kasut, syarikat itu juga mula mengembangkan rangkaian produk dengan memperkenalkan beg tangan. 

“Kami juga mula memperkenalkan beg tangan dan kini sedang memberi fokus kepada saiz yang sesuai dengan permintaan pengguna dan selepas itu akan memperkenalkan teknologi tambahan seperti penggunaan bahan ringan dan fungsi antibakteria,” katanya. 

Dalam langkah meningkatkan kesedaran jenama, Larrie juga buat pertama kali menggunakan duta jenama selebriti dan merancang untuk menampilkan lebih ramai duta pada masa akan datang.

Dengan pengalaman hampir lima dekad dalam industri, Larrie Corporation optimis bahawa inovasi berterusan dan strategi pemasaran yang kukuh akan terus mengukuhkan jenama mereka sebagai peneraju dalam industri fesyen kasut dan aksesori.

“Kami percaya strategi ini akan membantu memperkukuh jenama Larrie di peringkat glo­bal,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN