PETALING JAYA: IOI City Mall, pusat beli-belah terbesar di Malaysia di bawah IOI Properties Group muncul sebagai peneraju dalam pembangunan runcit yang mampan apabila menjadi pusat beli-belah dengan pemasangan panel solar terbesar di Malaysia.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, dengan 15,757 panel solar berkeluasan 354,000 kaki persegi, pusat beli-belah itu menjana 9,780 megawatt-jam (MWh) tenaga solar setiap tahun, membekalkan 8.2 peratus daripada keperluan elektriknya dan menjimatkan RM5.4 juta setiap tahun.
Katanya, pelaburan berjumlah RM18 juta itu bukan sahaja memberikan penjimatan kos yang ketara tetapi juga mengelakkan 7,570 tan metrik pelepasan karbon dioksida (CO2) setiap tahun, bersamaan dengan mengalihkan 1,640 kereta dari jalan raya atau menanam 125,850 pokok.
“Baru-baru ini, IOI City Mall mencapai satu lagi kejayaan sebagai pusat membeli-belah dengan panel solar terbanyak di Malaysia.
“Ia telah berjaya memasang 15,757 panel solar, meliputi 354,00 kaki persegi ruang atas bumbung, yang kira-kira bersamaan dengan saiz empat padang bola sepak,” katanya dalam nota penyelidikan.
HLIB berkata, pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang baru dianugerahkan kepada Fasa 1 IOI City Mall akan mengukuhkan komitmennya terhadap kecekapan tenaga.
Bank pelaburan berkata, pemasangan panel solar dijangka meningkatkan skor kecekapan tenaga (EE) dengan ketara, yang mempunyai pemberat tertinggi dalam sistem penilaian GBI.
“Dengan kenaikan kos tenaga, pelaburan IOI City Mall dalam tenaga solar dan kelestarian menetapkan penanda aras bagi pembangunan komersial masa depan, membuktikan bahawa pertumbuhan dan inisiatif hijau boleh bergerak seiring,” ujarnya.
HLIB mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM4.05.
“Kami percaya pelbagai pemangkin utama sedang berlaku, meletakkan IOI Properties Group sebagai prestasi cemerlang dalam sektor hartanah untuk 2025.
“Saham itu berpotensi untuk mencapai pematuhan syariah pada bulan Mei, membuka kunci permintaan institusi yang ketara,” ujarnya.-UTUSAN










