PETALING JAYA: TFX Islamic bersama anak syarikatnya, TFX Consulting, menganjurkan siri webinar percuma mengenai Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memperkasa perniagaan Malaysia.
Inisiatif itu bagi membimbing perniagaan Malaysia untuk mengintegrasi prinsip ESG selaras dengan aspek kelestarian yang kini menjadi tunjang utama dalam dunia perniagaan.
Penasihat Strategik TFX, Datuk Rona Merlinda berkata, perniagaan menyedari kepentingan ESG, namun pelaksanaannya masih menjadi tanda tanya.
Justeru katanya, TFX hadir untuk merapatkan jurang itu dengan menterjemahkan konsep ESG kepada strategi yang boleh dilaksanakan bagi memberi kesan nyata kepada perniagaan.
“Direka khas untuk pemilik perniagaan, pemimpin korporat, dan profesional ESG yang bercita-cita tinggi, sesi ini memberikan panduan praktikal tentang rangka kerja ESG, pematuhan, dan pertumbuhan mampan. Sambutan yang luar biasa menunjukkan bahawa perniagaan di Malaysia bersedia untuk menerima ESG dengan alat dan pengetahuan yang tepat.
“Kami bukan sekadar merapatkan jurang pengetahuan. Kami memperkasakan perniagaan dengan strategi untuk berkembang dalam persekitaran yang mampan,” katanya dalam kenyataan.
Siri webinar itu dianjurkan oleh GEDS dengan kerjasama TFX Consulting, INCEIF University, ISRA Institute, RAM Ratings, dan Multitime dalam misi untuk melengkapkan perniagaan dengan alat dan pengetahuan bagi memacu pertumbuhan mampan.
Sementara itu, Rona turut menekankan kepentingan ESG dalam membentuk masa depan Sabah dan menggalakkan lebih ramai rakyat negeri itu merebut peluang yang ada bagi memastikan Sabah berdiri kukuh di peringkat nasional dan global.
“Sabah kaya dengan budaya dan potensi, tetapi untuk terus berdaya saing, kita mesti menerima kelestarian. ESG bukan sekadar pematuhan; ia adalah usaha untuk menjamin masa depan kita sambil mengekalkan jati diri kita. Dengan menerima ESG, kita bukan sahaja menyertai masa depan, tetapi kita juga sedang membentuknya,” katanya. – UTUSAN










