CRK sasar pertumbuhan jualan 30% tahun ini

CRK sasar pertumbuhan jualan 30% tahun ini

KHAIRUL Najib Asarulah Khan di premis memproses produk sejuk bekunya di Jempol, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CR Khan Global Trading (CRK) menjangkakan pertumbuhan jualan sehingga 30 peratus tahun ini, didorong oleh penembusan pasaran baharu termasuk pasar raya secara berperingkat susulan pengiktirafan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2024.

Pengusahanya, Khairul Najib Asarulah Khan berkata, syarikat yang membekalkan dan mengedarkan makanan sejuk beku tersebut mencapai jualan kira-kira RM150,00 pada tahun lalu.

Katanya, pensijilan halal banyak membantu syarikat agar dapat terus melonjakkan pemasaran produk.

“Kami percaya pensijilan halal bukan sekadar memenuhi keperluan agama, malah memberi kelebihan dari segi pemasaran, kepercayaan pengguna dan pertumbuhan perniagaan dalam jangka panjang.

“Buat masa ini pemasaran produk hanya sekitar Negeri Sembilan, iaitu Bandar Seri Jempol, Batu Kikir, Serting Hilir, Air Hitam, Juasseh, Kuala Pilah, Senawang, Sendayan dan Seremban

“Untuk 2025, kami sasarkan untuk tembusi pasaran Lembah Klang dan buat pertama kali produk jenama CRK akan masuk ke Pasaraya ST Rosyam yang akan dibuka pada 19 Mac ini di Jalan Kebun, Klang, Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Khairul Najib berkata, ini adalah langkah awal pihaknya sebelum terus memasarkan produk lebih meluas di sekitar pusat komersial dan kawasan metropolitan berkenaan.

Tambahnya, bagi mengembangkan lagi perniagaan, pihaknya juga merancang untuk tembusi pasaran HoReCa (hotel, restoran dan katering/kafe) dan menjadi pembekal bagi institusi pengajian dan sekolah berasrama penuh.

“Buat masa ini produk CRK belum boleh diperolehi di seluruh negara. Namun jika ada permintaan kami boleh memasarkan ia bergantung pada permintaan dan demografi di sesuatu kawasan berkenaan,” ujarnya.

Khairul Najib berkata, produk sejuk beku menjadi pilihan kerana mempunyai jangka hayat ketahanan yang lebih lama selain dapat memudahkan pengguna untuk menikmati pada bila-bila masa.

“Sehingga kini lebih dari 20 unit simpanan stok (SKU) atas jenama CRK dikeluarkan seperti roti canai, roti boom, capati, putu mayam, vadai, kasturi, karipap, cucur badak, lepat, ketayap, donat dan lain-lain,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN