PETALING JAYA: Kerajaan akan melaksanakan sistem pembayaran hospital swasta berdasarkan pada klasifikasi pesakit mengikut diagnosis (DRG) dalam menangani isu caj berlebihan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, DRG adalah mekanisme pembayaran penjagaan kesihatan yang lebih moden dan menyeluruh berbanding sistem pembayaran sedia ada iaitu bayaran perkhidmatan.
“DRG dilengkapi dengan pemantauan klinikal yang dapat menggalakkan kecekapan hospital, menyediakan rawatan yang lebih berfokus dan berkesan, mengelakkan prosedur serta ujian yang tidak perlu dan memastikan pesakit menerima penjagaan berkualiti,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai cadangan kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi menggantikan mekanisme bayaran perkhidmatan bagi mengurangkan kos perubatan yang ditanggung oleh pengguna.
Hui Ying berkata, bagi tujuan itu kerajaan akan mengkaji keperluan untuk meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan 1998 bagi mengawal selia pengendalian serta perkhidmatan jagaan kesihatan swasta.
DRG adalah sistem pembayaran penjagaan kesihatan yang menetapkan bayaran tetap berdasarkan kerumitan kes pesakit, berbeza dengan amalan biasa yang dibayar berdasarkan perkhidmatan yang diberikan.
Dengan menggunakan DRG, hospital akan menerima harga yang telah ditentukan terlebih dahulu dan menguruskan sumbernya berdasarkan peruntukan yang ada.
Sistem ini memberi tumpuan kepada rawatan yang lebih menjimatkan kos, mengurangkan prosedur yang tidak perlu, dan mengelakkan pemberian ubat berlebihan.
Walaupun DRG bukan mekanisme kawalan harga, ia merupakan pendekatan disiplin kos yang memberi manfaat kepada hospital dalam mengoptimumkan sumber dan kecekapan, sekaligus memberi manfaat kepada pesakit.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan sedang menyemak semula caj konsultasi doktor di klinik swasta yang tidak pernah disemak sejak 32 tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Jadual Ketujuh Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta ((Klinik Perubatan Swasta atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 di bawah Akta 586 mengawal selia caj perundingan dan caj tatacara bagi pengamal perubatan am yang memberikan perkhidmatan di klinik perubatan am swasta (GP).
“KKM kini sedang dalam usaha untuk menyemak semula fi perundingan bagi pengamal perubatan perubatan am yang memberikan perkhidmatan di klinik perubatan am swasta yang tidak dipinda sejak 2006.
“Untuk makluman, KKM sedang bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menjalankan simulasi dan mendapatkan julat harga yang sesuai dengan mengambil kira kesan kenaikan fi konsultasi ini kepada Indeks Harga Pengguna (CPI),” katanya.
Pada Januari lalu, akhbar ini melaporkan bahawa kadar caj konsultasi doktor swasta tidak mengalami sebarang perubahan sejak 32 tahun lalu.
Ini menyebabkan pihak terbabit terpaksa menaikkan caj kos operasi yang semakin meningkat, termasuk sewa premis, kos utiliti, peralatan perubatan serta perbelanjaan berkaitan teknologi dan sumber manusia telah meletakkan tekanan besar ke atas klinik swasta.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Kaira dilaporkan berkata, yuran doktor ditetapkan di bawah Jadual Bayaran Ketujuh Akta dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati.
Katanya, dengan kos operasi yang tinggi dan yuran GP yang tidak berubah selama lebih 30 tahun, mencari jalan untuk mengurangkan caj rawatan akan menjadi satu cabaran yang besar. –UTUSAN










