PETALING JAYA: Muiz Hot Chicken yang beroperasi di bawah Muiz Food Industries Sdn. Bhd., kini memperkukuh kepercayaan pelanggan dengan memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk produk ayam perap sejuk beku dan tepung goreng ayamnya.
Jenama ayam goreng yang semakin berkembang di Malaysia itu telah memperoleh sijil halal melalui Program Persijilan Usahawan, Business Enrichment, Standardization & Transformation (BEST) di bawah MARA pada 2024 dan ia membuktikan komitmen dalam memastikan semua produknya memenuhi standard halal yang diiktiraf.
Pengarah dan Pengasas Muiz Food Industries, Muhamad Muizzuddin Remlee berkata, proses mendapatkan sijil halal bukan sekadar memenuhi keperluan undang-undang tetapi juga untuk menjamin kualiti dan kebersihan produk.
“Pensijilan halal bagi produk Muiz Hot Chicken dapat memberi keyakinan kepada pelanggan kami, terutama pengguna beragama Islam, sekali gus mahu memastikan mereka menikmati makanan yang bukan sahaja sedap tetapi juga halal dan bersih.
“Semestinya cabaran dalam mendapatkan sijil halal ini melibatkan pematuhan ketat terhadap proses penyediaan makanan, audit oleh pihak berkuasa dan memastikan semua bahan yang digunakan adalah halal.
“Bagaimanapun, dengan perancangan yang baik, Muiz Hot Chicken berjaya memperoleh sijil tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Syarikat ini telah berkembang pesat sejak bermula dari gerai kecil di Parit Raja, Muar, dan kini mempunyai lebih 200 kiosk di seluruh Malaysia.
Muizzuddin berkata, Muiz Hot Chicken kini merancang untuk memperluaskan lagi pasaran produknya, termasuk ke pasar raya, stesen minyak, dan lebih banyak lokasi strategik di seluruh negara.
“Kami juga ingin membawa jenama ini ke Sabah dan Sarawak serta menjadikannya pilihan utama dalam industri makanan segera halal di Malaysia.
“Dengan berkonsepkan perniagaan yang sistematik serta model francais yang menarik, kami juga telah membuka restoran pertama di Muar dan kiosk di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.
Penerima Ikon Usahawan Industri Makanan Minuman pada Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2024 itu berkata, selain meningkatkan kepercayaan pelanggan, sijil halal membuka peluang lebih besar untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Oleh itu, saya menggalakkan semua usahawan makanan untuk mendapatkan pensijilan halal kerana ia bukan sekadar keperluan tetapi juga satu kelebihan dalam industri ini,” katanya.-UTUSAN










