SERING mengikut ibunya mendapatkan barangan borong untuk kedai runcit menjadikan inspirasi kepada pemilik Pookal Group, Abdul Alim Abdul Manaf, 33, untuk mencari pendapatan sendiri dan berdikari sehingga mampu membuka sebuah syarikat percetakan baju dan kilang jahit membekalkan pakaian kepada universiti.
Pada tahun ini, beliau meletakkan sasaran 500,000 helai pakaian dengan anggaran jualan lebih RM10 juta pada tahun ini.
Abdul Alim berkata, ibunya, Siti Rohani Yusoff, 63, merupakan inspirasinya untuk berjaya dalam bidang perniagaan.
“Pada tahun lalu, lebih 350,000 helai terjual pada 2024 dan menjana keuntungan bersih lebih RM2 juta.
“Sewaktu awal kemasukan ke alam universiti, saya sudah mula mencari peluang yang ada bagi mengelakkan berlaku pertembungan di alam pekerjaaan selepas tamat graduan.
“Sejak dari situ saya menyimpan cita-cita bagi menjalankan perniagaan, bermula dengan membuka perniagaan percetakan photostat dan penjilidan sehingga seterusnya membuka kilang jahitan baju di Taman Industri Mega, Kajang, Selangor,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas graduan Ijazah Pentadbiran Muamalat dengan kepujian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2015 itu, dia melihat potensi sangat besar dalam pembekalan pakaian serta margin untung besar.
“Saya memulakan langkah dengan mengembangkan lagi sayap perniagaan dan dapat memberi peluang pekerjaan kepada 40 orang pekerja di mana masing-masing mempunyai keluarga dan rasa berbangga kerana mampu memberikan peluang pekerjaan.
“Sehingga kini, kami mempunya tempahan dari jabatan kerajaan, kontrak pembekal swasta dan ejen-ejen pembekalan yang dilatih untuk pemasaran,” katanya.
Abdul Alim kini menjalankan kilang jahit pukal dan percetakan pakaian sukan baju T, baju muslimah, baju seragam dan aksesori pakaian wanita seperti baju kurung serta tudung.
Setakat ini, dia mahu memfokuskan perniagaan dalam Malaysia dan menyasarkan untuk memastikan ekonomi dalam Malaysia terus mengukuh dan mengurangkan kebergantungan pada import dari negara luar.
Tambah Abdul Alim, Pookal merupakan syarikat yang membekalkan bermula bahan mentah hingga ke peringkat penghantaran.
“Saya akan memberi jaminan kualiti yang terbaik pada harga yang murah. Selain itu, kami tidak mengenakan sebarang tambahan bayaran kepada pelanggan mahu tempahan segera,” katanya.
Abdul Alim turut menasihatkan mana-mana usahawan agar menjalankan perniagaan dengan menjaga kualiti.
“Sebagai usahawan anda juga perlu jujur semasa menjalankan perniagaan dan sentiasa amanah,” katanya.-UTUSAN










