Dua e-kafé emart24 kini berstatus halal Jakim

Dua e-kafé emart24 kini berstatus halal Jakim

MOHD. Rizal Ismail (kiri) yang mewakili pihak JAKIM menyampaikan plak ‘halal’ kepada Vuitton Pang sebagai simbolik pengiktirafan sijil halal yang diperolehi bagi cawangan emart24 Southville di Southville Bangi, Bandar Baru Lembah Selatan.–UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: emart24, rangkaian kedai serbaneka Korea popular telah menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi dua e-kafé miliknya pada 1 Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn. Bhd., Vuitton Pang berkata, dua cawangan tersebut adalah di cawangan Southville dan e-kafé emart24 Vista Alam, Shah Alam. 

“Memenuhi keperluan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami. 

“Mendapatkan pensijilan halal adalah langkah penting dalam komitmen kami untuk menawarkan makanan Korea yang berkualiti tinggi dan mesra Muslim,” katanya semasa semasa majlis penyerahan sijil halal oleh Pengerusi Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA), Mohd. Rizal Ismail yang mewakili Jakim.

Dengan lebih 84 cawangan di Malaysia dan lebih 800,000 transaksi setiap bulan, emart24 semakin mendapat sambutan dengan pelbagai makanan ringan, minuman, dan hidangan sedia makan Korea. 

Inisiatif pensijilan halal itu mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran, menarik lebih ramai pelanggan menerusi pematuhan garis panduan pemakanan dan standard halal terbaik.

Menurut beliau, emart24 kini turut merancang untuk mendapatkan sijil halal bagi lima cawangan setiap bulan sepanjang tahun ini.

“emart24 kini memberikan keutamaan untuk semua cawangan sedia ada mendapat pensijilan halal. 

“Dengan proses dalaman dan prosedur operasi standard yang telah disusun rapi, kami bersedia untuk mendapatkan sijil halal bagi lima cawangan setiap bulan. 

“Kami juga menjangkakan semua cawangan emart24 akan memperoleh sijil halal sepenuhnya menjelang tahun depan,” katanya. 

Vuitton berkata, bagi memenuhi piawaian pensijilan halal yang tinggi, emart24 melaksanakan proses penilaian menyeluruh terhadap pembekal, protokol kebersihan yang rapi, serta kawalan kualiti yang teliti. 

“Pembekal perlu mengemukakan dokumen untuk disemak oleh eksekutif halal, dengan butiran yang dimuat naik ke portal rasmi Jakim.

“Proses mendapatkan sijil halal ini mencerminkan usaha berterusan emart24 untuk mengekalkan pematuhan dan ketelusan yang tinggi

“Kami komited untuk menyediakan produk yang meyakinkan semua rakyat Malaysia terhadap kualiti kami, selaras dengan usaha kami mendapatkan pensijilan halal,” katanya. 

Dimiliki oleh Shinsegae Group, peruncit terbesar di Korea Selatan, emart24 merupakan jenama kedai serbaneka yang paling pesat berkembang di negara itu dengan lebih 7,000 cawangan dalam pelbagai format dan saiz. 

Malaysia menjadi pasaran luar negara pertama emart24 pada 2021.

Inisiatif pensijilan halal itu juga sejajar dengan slogan jenama “Hello, Neighbour” yang menekankan komitmen emart24 untuk menjadi kedai serbaneka yang mesra dan selesa untuk komuniti setempat.

Dengan menyesuaikan tawarannya mengikut nilai budaya dan keagamaan tempatan, emart24 berhasrat untuk menjadi peneraju dalam landskap kedai serbaneka di Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN