Peningkatan permintaan pacu pertumbuhan sektor utiliti

Peningkatan permintaan pacu pertumbuhan sektor utiliti

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangkakan sektor utiliti terus berkembang maju pada tahun ini disokong peningkatan permintaan seiring perkembangan ekonomi negara. 

Bank pelaburan berkata, YTL Power International Bhd. dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) merupakan syarikat di bawah liputannya yang mencatatkan keuntungan.

“Sektor itu mendapat manfaat apabila rangka kerja Pele­pasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) asas aset terkawal (RAB) kekal utuh.

“Sektor itu juga akan memanfaatkan pembangunan pusat data, pelancaran tenaga boleh diperbaharui (RE) dan perbelanjaan modal TNB, dengan kitaran perbelanjaan modal (capex) baharu yang diluluskan sehingga RM42.8 bilion di bawah tempoh kawal selia keempat (RP4).

“ICPT merupakan mekanisme di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) yang diluluskan oleh kerajaan dan dilaksanakan sejak 1 Januari 2014 membolehkan TNB, sebagai utiliti, mencerminkan perubahan dalam bahan api dan kos berkaitan penjanaan lain dalam tarif elektrik,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Jelasnya, pelaksanaan ICPT, yang berlaku setiap enam bulan akan mencerminkan kos sebenar dalam tarif dalam bentuk sama ada rebat atau surcaj.

“Tambahan pula, kesan pelaksanaan ICPT adalah neutral terhadap TNB dan tidak akan memberi kesan kepada operasi perniagaan dan kedudukan kewangannya,” katanya. 

HLIB Research berkata, penstabilan harga bahan api komoditi telah meningkatkan kebo­lehlaksanaan pendapatan bagi sektor itu.

Firma penyelidikan itu me­ngekalkan saranan ‘beli’ untuk YTL Power International dengan harga sasaran (TP) RM7 sesaham.

“Hal ini kerana kami percaya penilaiannya kekal tidak menuntut berbanding rakan setaranya dengan pertumbuhan pendapatan berterusan melalui pusat data dan infrastruktur awan kecerdasan buatan (Al) (disokong oleh Nvidia Corp), serta metrik yang menguntungkan untuk Wessex Water baharu RP2025-2030.

“Kami yakin dengan keupayaan YTL Power International untuk melancarkan pusat data Al dalam tempoh masa yang dijadualkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN