PETALING JAYA: microLEAP, satu daripada sembilan platform pembiayaan Peer-to-Peer (P2P) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan turut serta dalam skim pembiayaan alternatif Sarana yang baru dilancarkan, kini mempergiat usaha untuk memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kontraktor kecil di Malaysia.
Melalui skim pembiayaan Sarana, microLEAP menyediakan pilihan pembiayaan yang lebih cepat dan fleksibel seperti pembiayaan invois dan pembiayaan pra-kontrak, membolehkan
perniagaan memenuhi keperluan modal kerja mereka dengan lebih berkesan.
Katanya, berbeza dengan institusi kewangan tradisional yang sering mengenakan syarat ketat, microLEAP menggunakan teknologi untuk memudahkan akses kepada modal, memastikan segmen yang kurang mendapat perhatian turut berpeluang berkembang maju.
Menurutnya, dengan RM125 juta disalurkan dalam pembiayaan pada tahun 2024 sahaja, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 101 peratus, impak microLEAP terhadap landskap PMKS di Malaysia tidak dapat dinafikan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar menekankan peranan penting pembiayaan alternatif dalam membina daya tahan sektor PMKS negara.
“PMKS merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, tetapi ramai yang masih berdepan halangan untuk mendapatkan modal yang diperlukan bagi berkembang. Platform seperti microLEAP bukan sekadar mengisi jurang, tetapi turut mengubah cara perniagaan mendapatkan pembiayaan.
“Melalui penyelesaian dalam talian yang mematuhi Syariah, kami sedang membentuk ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan memacu pertumbuhan mampan,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, melalui skim Sarana, pihaknya bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah memperkasa perniagaan untuk berkembang, meningkatkan skala dan bersaing dalam persekitaran yang semakin mencabar.
“Pembiayaan invois, khususnya, menjadi pengubah permainan bagi PMKS dan kontraktor. Ia menukarkan invois belum terbayar menjadi aliran tunai segera, memastikan mereka mempunyai modal kerja untuk memenuhi kontrak, membayar pembekal dan merebut peluang baharu,” ujarnya.
Sebagai satu-satunya platform pembiayaan P2P dengan pejabat di Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, dan Perak, microLEAP memastikan PMKS di seluruh Malaysia dapat mengakses pembiayaan yang sesuai dengan keperluan mereka tanpa mengira lokasi.
Platform ini mencapai kadar kegagalan hanya 0.63 peratus pada tahun 2024, penambahbaikan sebanyak 41.1 peratus berbanding tahun 2023, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai platform yang boleh dipercayai.-UTUSAN










