Dari pengaturcara komputer kepada usahawan biskut

Dari pengaturcara komputer kepada usahawan biskut

FARIDAH Muanda memulakan perniagaan dengan modal hanya RM200 sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMANGAT untuk menyediakan keperluan terhadap anak-anak setelah punca pendapatan terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong Faridah Maunda, 53, untuk mencuba nasib dalam perniagaan membuat roti dan kuih atau biskut (cookies) pada 2020.

Bermodalkan RM200, ibu kepada tiga orang anak itu membeli mesin pembuat roti terpakai pada harga RM100 dan selebihnya untuk membeli bahan-bahan bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Sambutan baik daripada jiran-jiran yang suka dengan roti dibuatnya, menjadikan wanita yang pernah bekerja sebagai pengaturcara komputer itu menjadikan perniagaan tersebut sebagai punca pendapatan utamanya.

Faridah yang merupakan pemilik Fabima Enterprise yang mengeluarkan kuih atau ‘cookies’ di bawah jenama Embun Cookies kini mengorak langkah untuk mengembangkan lagi perniagaannya setelah menerima premis baharu yang disewa daripada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Katanya, usaha berterusan dan melakukan pemasaran dengan baik penting dalam perniagaan walaupun hanya bermodal dengan modal yang kecil.

“Masa mula buat roti saya beli mesin pembuat roti terpakai pada harga seratus sahaja. Untuk bermula berniaga ini perlu ada usaha dan buat pemasaran dengan elok.

“Saya buat pemasaran di media sosial kerana saya juga agak ramah orangnya. Apabila orang sudah kenal kita boleh mudah untuk menjual produk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premisnya di Petaling Jaya, Selangor.

Sementara itu, wanita yang berasal dari Kota Belut, Sabah itu menjual Chocolate Chips Cookies dan Red Velvet Cookies yang kini dalam proses untuk mendapatkan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Faridah memberitahu, pro­duk­nya tersebut kini sudah pun berada di beberapa stesen minyak di sekitar Lembah Klang dan dia berhasrat untuk memasarkan kuih buatannya ke pasaran pasar raya setelah menerima pensijilan halal tersebut yang dijangka diperoleh pada tahun ini.

“Kapasiti pengeluaran ketika ini adalah kira-kira 200 paket untuk sebulan tetapi saya mampu untuk mengeluarkan lebih lagi jika pasaran dan permintaan meningkat,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya mampu untuk menghasilkan sehingga 1,000 paket dalam masa sebulan, jika kami berjaya memasuki pasaran pasar raya kelak.

Katanya, tempahan bagi kuih keluarannya juga meningkat pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Pada musim perayaan tahun lepas kami dapat capai jualan sebanyak RM17,000. Pada tahun ini, saya menjangkakan peningkatan jualan yang lebih lagi sehingga RM25,000 yang akan didorong dengan pemasaran yang lebih baik,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN