SERONOK, yakin, padu. Itu kesimpulan saya selepas berpeluang memandu uji kereta terbaik Malaysia bagi tahun 2024, iaitu BYD Seal Performance, baru-baru ini.
Lebih mengujakan, ia merupakan kereta elektrik pertama yang saya pandu sendiri. Program dinamakan BYD Seal Performance Day anjuran Sime Motors itu bermula di Bamboo Hills, Kuala Lumpur.
Melangkah masuk ke satu ruang letak kenderaan yang menempatkan deretan lebih 10 buah BYD Seal, mata saya terpesona melihat reka bentuknya. Meskipun BYD Seal sudah berada dalam pasaran tempatan sejak dilancarkan Februari tahun lepas, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk meninjaunya dalam mana-mana bilik pameran kereta.
Mungkin kerana kereta elektrik bukan pilihan saya ketika itu jika mahu bertukar kenderaan baharu. Saya sangsi bahawa kereta elektrik mampu memberikan kepuasan memandu, tidak seperti kenderaan yang menggunakan bahan api petrol dan diesel.
Namun, kali ini saya benar-benar mengamatinya. Pada pandangan pertama, bolehlah saya katakan BYD Seal nampak ‘genit’ dan ‘lincah.’
BYD Seal memenangi anugerah berprestij iF Design Award 2023 kerana rekaan dan inovasi yang bermutu. Bahagian depannya menampilkan bentuk X yang memperlihatkan gaya kereta sport. Bahagian tepinya pula direka untuk mengurangkan rintangan angin, selain menambahkan lagi gaya sporty. Ditambah rim bersaiz 19 inci, nampak sedikit ‘garang’!
Reka bentuk BYD Seal ‘diilhamkan’ daripada keindahan dan keunikan alam laut. Ini termasuk cermin sisi berbentuk percikan air.
Lampu besar diod pancaran cahaya (LED) dari jenis double U floating yang mana ia seolah-olah ‘terapung’ mengikut pergerakan kereta. Contohnya, jika melalui bonggol, pantulan cahayanya tidak akan menyuluh kenderaan yang datang dari arah depan sekali gus tidak menyilaukan mata pemandunya.
Lampu pencahayaan siangnya pula direka seperti alunan ombak laut. Lampu belakang LED yang umpama ‘seluas lautan’ mudah dilihat oleh kenderaan dari arah belakang.
Sesi pandu uji bermula sebaik sahaja selesai sarapan pagi dan taklimat ringkas. Saya bersama dua lagi pengamal media berkongsi sebuah BYD Seal. Persinggahan pertama kami adalah Putrajaya.
Untuk sesi pertama ini, saya duduk di sebelah pemandu. Melabuhkan punggung dan bersandar pada tempat duduk jenis sports seat yang empuk terasa cukup menyamankan dan selesa. Terasa betul-betul relaks. Dibaluti material alih udara, dalam cuaca panas pun tetap rasa nyaman. Ia boleh dilaras secara elektronik mengikuti kesesuaian masing-masing.
Kami menyusuri Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE), seterusnya Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE). Kenderaan ini meluncur begitu lancar, senyap dalam kelajuan sederhana. Sesekali pemandu menekan pedal untuk meningatkan kelajuan, tidak terasa daya pecutannya, cukup lancar dan stabil.
Bagaimanapun, di sesetengah kawasan yang permukaannya tidak rata, duduk di dalamnya terasa terenjut-enjut begitu ketara. Mungkin keadaan ini lumrah bagi mana-mana kenderaan elektrik disebabkan beban berat bateri.
Di kawasan rehat dan rawat (R&R) Seri Kembangan, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), saya mengambil alih tugas memandu. Kedudukan memandu terasa begitu selesa untuk pemanduan dalam bandar dan sederhana jauh. Cukup relaks.
Memandu dalam beberapa minit sahaja sudah cukup meyakinkan saya bahawa kenderaan ini bakal menjanjikan keseronokan. Tekan sahaja pedal, ia meluncur stabil dan lancar. Hilang terus kesangsian saya sebelum ini yang kereta elektrik adalah membosankan.
Sesekali terpisah daripada konvoi, motor elektrik berkuasa tinggi 390 kW yang menghasilkan 670 N.m, membolehkan saya mengejar semula. Tiada ragu-ragu yang kereta ini mungkin kurang kawalan apabila dipecut laju. BYD Seal Performance mampu memecut sehingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 3.8 saat.
Papar pandu pada cermin depan (W-HUD) membantu saya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada konvoi dan apa sahaja yang ada di depan. Banyak membantu saya untuk mengawal kelajuan di kawasan-kawasan yang banyak kamera perangkap laju di sekitar Putrajaya!
Ada skrin bersaiz 15.6 inci yang boleh diputar melintang atau menegak, disokong aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto untuk memandu arah dan mendapatkan maklumat-maklumat lain yang diperlukan.
Ada penganjak gear kristal menambahkan suasana kemewahan di bahagian dalam kereta. Selain itu, memegangnya rasa selesa selain tidak mudah nampak kusam.
Selesai makan tengah hari untuk menuju lokasi seterusnya, iaitu Litar Lumba Antarabangsa Sepang (SIC), saya duduk di bahagian penumpang belakang. Ruangnya selesa, luas dan lapang.
Bumbung tembus cahaya menyediakan pemandangan panoramik. Tidaklah bosan sangat kalau tiada teman untuk berbual. Namun, mungkin tidak berapa sesuai dengan cuaca di negara kita yang panas.
Dan keadaan kenderaan yang terenjut-enjut seperti saya ceritakan tadi, duduk di bahagian belakang lebih terasa sehinggakan rakan saya yang memandu terpaksa meminta maaf kerana membuatkan keadaan tidak selesa!
Di SIC, kami disajikan dengan pertunjukan drift. Dengan tayar Continental yang merupakan kelengkapan original pada semua BYD Seal, kenderaan ini memperlihatkan kestabilan dan tindak balas mengagumkan dalam suasana ekstrem.
Paling mengujakan adalah cabaran gimkhana yang menguji kecekapan pemanduan masing-masing. Acara ini jugalah yang membolehkan kami menguji secara maksimum keupayaan BYD Seal.
Ternyata BYD Seal bukan ‘kaleng-kaleng.’ Dengan penyerap hentak berkualiti tinggi dan kawalan penyesuaian tork pintar, ia mampu dikawal ketika memecut laju di laluan penuh halangan. Tekan pedal sekuatnya, kawal stereng dan brek, selebihnya antara berani dengan tidak sahaja.
Bagi yang ambil berat pasal keupayaan baterinya, dengan kapasiti kuasa caj 150 kW, BYD Seal mampu mengecas 30 hingga 80 peratus dalam tempoh 18 minit.
Dengan harga antara RM163,800 hingga RM199,800, ia boleh saya sifatkan ‘okey’ untuk mereka yang mahu beralih kepada kenderaan elektrik.
Bagi pemanduan dalam bandar, ia begitu sesuai dan menjimatkan. Tidak perlu lagi pening kepala jika subsidi petrol dan diesel dimansuhkan.
Kalau tanya pendapat saya pasal BYD Seal, jawapannya: “Rasa macam nak tukar kereta elektrik selepas ini!” – UTUSAN










