PETALING JAYA: Aveta Malaysia menyasarkan jualan 1,000 unit skuter keluaran terbaharunya, Vanguard 250 sepanjang tahun ini.
Pengarah Urusannya, Steven Lim berkata, dengan harga RM14,888 untuk varian standard dan RM16,388 (edisi khas), pihaknya mahu menawarkan pengalaman mengembara pada harga berpatutan kepada peminat jentera dua roda.
“Vanguard 250 ada kelas tersendiri yang mana ia merupakan skuter crossover yang membolehkan pemilik menjadikannya sebagai kegunaan harian, mengembara dan aktiviti lasak.
“Ini sasaran pasaran kita, iaitu yang suka mengembara pada jarak jauh di lebuh raya tapi pada masa sama mahukan sedikit cabaran dengan memasuki jalan-jalan kampung atau tidak bertar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan Vanguard 250 di sini, semalam.
Ketika ditanya mengenai khidmat selepas jualan yang ditawarkan Aveta, beliau memberitahu, pihaknya sudah ada 20 pusat servis di seluruh negara dan akan ditambah menjadi 30 buah menjelang hujung tahun ini.
“Setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak ada stokis dan pusat servis, jadi tidak perlu risau tentang alat ganti.
“Kami juga ada Aveta Care on Wheels yang menyediakan khidmat membaiki kerosakan sama ada di jalanan atau di rumah 24 jam, tujuh hari seminggu,” ujarnya.
Sempena promosi pelancaran, 200 pembeli pertama boleh menikmati harga istimewa iaitu RM14,488 (standard) dan RM15,988 (edisi khas).
Skuter terbaharu keluaran Aveta ini akan berada di pasaran mulai Februari ini.-UTUSAN










