PETALING JAYA: Trinity Group mengukuhkan jenama mereka selepas memperkenalkan Program Jaminan Emas yang mencerminkan keupayaan dan visinya untuk masa depan kehidupan komuniti di Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Trinity, Datuk Neoh Soo Keat berkata, program itu bertujuan menetapkan standard baharu dalam pasaran hartanah Malaysia melalui jaminan lanjutan yang melangkauan norma industri.
Menurutnya, inisiatif itu menawarkan perlindungan tambahan kepada pembeli rumah, tertakluk kepada terma dan syarat tertentu.
“Program ini turut menampilkan ciri-ciri utama seperti tempoh liabiliti kecacatan (DLP) selama 36 bulan, lebih lama berbanding standard industri iaitu 24 bulan.
“Tempoh itu memastikan sebarang kecacatan disebabkan oleh mutu kerja yang tidak memuaskan atau rosak ditangani dengan teliti untuk memberikan ketenangan fikiran serta mengurangkan kos pembaikan kepada pembeli,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, antara jaminan lain yang disertakan ialah waranti 10 tahun untuk kebocoran bumbung, jauh melangkaui perlindungan biasa selama dua tahun.
“Waranti ini melindungi pembeli daripada kos pembaikan yang mahal dan potensi kerosakan air yang boleh memberi kesan kepada nilai hartanah.
“Malah, waranti lima tahun untuk jubin timbul juga ditawarkan, memastikan masalah seperti jubin ‘pop-up’ yang sering menjejaskan penampilan dan fungsi hartanah dapat ditangani secara efektif, melangkaui jaminan biasa selama dua tahun,” menurutnya.
Selain itu, Soo Keat berkata, inisiatif itu adalah respons kepada cabaran yang dihadapi oleh pemilik rumah di Malaysia, seperti kebimbangan terhadap kualiti pembinaan dan beban kewangan akibat pembaikan yang tidak dijangka.
“Dengan lebih 20 tahun pengalaman membangunkan hartanah bertingkat tinggi, kami menggunakan kepakaran mendalam dan langkah kawalan kualiti yang ketat, termasuk senarai semak 10 mata dan sistem bumbung dua kali bagi memastikan pembeli mendapat ketenangan fikiran dan nilai jangka panjang yang tiada tandingan,”ujarnya.
Mengulas lanjut, katanya, program ini dilancarkan untuk menangani cabaran serta permintaan yang mendesak dalam pasaran hartanah Malaysia.
“Inisiatif ini merupakan tindak balas strategik terhadap peningkatan keperluan pembeli dan pelabur yang mahukan kualiti serta kebolehpercayaan lebih tinggi.
“Memandangkan mereka sering berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi, kenaikan harga hartanah dan kebimbangan mengenai kualiti pembinaan, program ini bertujuan memberikan perlindungan komprehensif bagi membantu pembeli menghadapi cabaran yang tidak dijangka,” ujarnya.-UTUSAN










