BARU-BARU ini mata wang kripto semakin menunjuk pertumbuhan yang semakin pesat dan semakin dijadikan aset untuk dijadikan sebagai jaminan masa depan yang lebih cerah.
Kedudukan kripto seperti Bitcoin yang mampu menjadi salah satu aset termahal dunia melebihi syarikat-syarikat seperti Saudi Aramco dan Facebook amat mengagumkan.
Tidak hanya itu, Bitcoin juga telah melonjak ke rekod tertinggi baharu, melanjutkan persaingan yang menyaksikan kenaikan harga mata wang kripto sebanyak lebih 50 peratus, melepasi AS$106,000 (RM472,509).
Kepesatan dunia mata wang digital telah membuka mata anak-anak muda Malaysia untuk mula meneroka dan melabur di sektor ini untuk simpanan jangka masa pandang dan pendek.
Namun, adakah pelaburan melalui mata wang digital seperti Bitcoin adalah sesuai dan selamat untuk generasi muda sekarang?
Mengulas isu ini, Remisier Maybank Investment Bank, Jeffry Azizi Jaafar berkata, buat masa sekarang, mata wang digital itu kelihatan sangat menarik kerana kewujudannya melibatkan teknologi di masa hadapan.
Katanya, ia mempunyai potensi yang baik di masa hadapan namun agak tidak sesuai untuk dijadikan sebagai pelaburan yang utama oleh orang mudah kerana mata wang itu terlalu muda jika dibandingkan dengan emas, saham ataupun hartanah.
“Bagi remaja, antara aset pelaburan pertama yang sesuai bagi mereka ialah emas atau saham blue chip yang kukuh dan hartanah disebabkan kesemua aset-aset ini mempunyai potensi untuk naik di masa depan dalam jangka masa panjang.
“Jadi ini menyebabkan risiko aset kripto agak tinggi berbanding emas, saham dan hartanah.
“Walau bagaimanapun, disebabkan masa hadapannya kelihatan menarik dan mempunyai potensi yang bagus, ia sesuai dijadikan sebagai salah satu aset pelaburan tetapi risikonya mesti diuruskan dengan betul,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Jeffry, risiko itu boleh diletakkan mengikut keutamaan kelas-kelas aset iaitu emas, saham blue chip yang kukuh, hartanah dan kemudian barulah mata wang Kripto dan Bitcoin.
Ujarnya, peredaran zaman serba canggih telah memberikan pendedahan kepada remaja zaman kini berkenaan pelbagai info pelaburan khususnya mata wang digital.
“Zaman sekarang maklumat dikongsi dengan pantas dan mudah diakses contohnya melalui pembelajaran rasmi dan tidak rasmi melalui internet, media sosial dan sebagainya.
“Dengan pendedahan yang lebih awal berbanding generasi terdahulu, ramai remaja semakin memahami dan menggemari mata wang digital untuk melabur serta menjadikan aset utama mereka berbanding aset lain kerana keuntungannya,” ujarnya.
Namun, remaja perlu bersedia dengan ilmu pengetahuan sebelum membuat sebarang pelaburan terutamanya dalam membezakan pelaburan jangka panjang yang berasaskan nilai dengan spekulasi yang lebih berisiko.
“Kini, banyak buku berkaitan pelaburan yang ditulis dalam Bahasa Melayu untuk membantu orang muda khususnya memahami berkenaan pelaburan dengan lebih mudah.
“Maklumat yang sahih di media sosial juga boleh menjadi rujukan kepada anak muda dalam mendapatkan pengetahun dan mereka juga boleh hadir ke seminar pelaburan yang dijalankan secara atas talian dan fizikal yang banyak diadakan di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga penganalisis ekonomi turut menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang yang lemah bakal menjadi risiko besar kepada pelabur dalam mata wang ini.
Katanya, risiko penipuan yang datang daripada scammer menyebabkan undang-undang di Malaysia perlu ditambah baik dan dikemaskini selari dgn perubahan teknologi masa kini.
“Ini kerana scammer menggunakan teknologi dengan baik sehingga menyebabkan ramai orang tertipu. Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu mempunyai kuasa untuk menurunkan akaun, saluran atau siaran di media sosial yang dijalankan oleh scammer.
“Selain itu, penguatkuasaan di Malaysia juga lemah dengan kegagalan dalam perkara asas seperti selepas dibuat laporan, tiada tindakan seperti siasatan, tangkapan dan dakwaan dilakukan.
“Jika perkara-perkara ini diambil perhatian dan dapat dilakukan, aktitviti scammer dapat dihapuskan dan menjadikan persekitaran dalam pelaburan lebih selamat khususnya kepada pelabur muda yang sedang meneroka dunia kewangan digital,” katanya.-UTUSAN











