PETALING JAYA: Sunway Group menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tiga tahun bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkaitan perkongsian kemahiran dan kepakaran, program latihan industri dan pembangunan modal insan.
Bekerjasama dengan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di bawah Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti KPT, kerjasama ini akan menyediakan peluang latihan kepada pelajar TVET dari wilayah selatan Malaysia.
Dalam pada itu, tumpuan utama hubungan ini melibatkan pelaksanaan program Latihan Industri Berstruktur yang direka untuk meningkatkan kemahiran praktikal pelajar dan menyediakan mereka untuk memenuhi permintaan industri yang berkembang dan dunia sebenar.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Sunway Group, Foo Shiang Wyne berkata, pihaknya yakin terhadap keberkesanan kerjasama ini.
“Kami percaya sinergi yang diwujudkan melalui MoU ini akan membolehkan kami melahirkan tenaga kerja yang cekap dan memenuhi permintaan pasaran.
“Sunway komited untuk menyediakan peluang latihan industri yang berkualiti dan program pembangunan bakat untuk pelajar PIS,” katanya dalam kenyataan.
Sehingga kini, lebih 200 pelajar TVET di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada perkongsian berterusan Sunway dengan Universiti Teknologi MARA, Institut Latihan Kemahiran Maju Belia Negara dan beberapa politeknik dan kolej komuniti di seluruh Malaysia.
Sunway juga telah menyediakan peluang latihan amali dan perkongsian kemahiran kepada institusi TVET awam yang lain, mengukuhkan komitmennya untuk memajukan pendidikan teknikal dan vokasional di negara ini.
Pengarah Kanan Kompetensi, Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Razak Sabtu berkata, kerjasama ini menunjukkan komitmen JPPKK bersama PIS untuk memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran relevan yang selaras dengan permintaan industri semasa.
“Sunway berfungsi sebagai rakan strategik yang akan membantu kami dalam meluaskan peluang latihan dan memudahkan penempatan pekerjaan untuk graduan kami,” ujarnya.
Tambah Sunway, MoU ini adalah sebahagian daripada usaha holistik Sunway untuk memartabatkan rakyat Malaysia dengan memberi tumpuan kepada pendidikan dan meningkatkan kemahiran merentasi lima industri utama iaitu hospitaliti, kulinari, penyelenggaraan kemudahan dan peralatan, automotif serta penjagaan kesihatan.
Kerjasama Sunway dengan sekolah vokasional awam adalah selaras dengan tumpuan Kerajaan Malaysia yang terus meningkat tumpuan terhadap pendidikan vokasional, setelah meningkatkan peruntukannya dalam Belanjawan 2025 daripada RM6.8 bilion kepada RM 7.5 bilion.-UTUSAN










