Sijil halal bantu Choco Albab tembus pasaran Asia Tenggara

Sijil halal bantu Choco Albab tembus pasaran Asia Tenggara

SAID Saiful Fazli Said Aluwi bersama produk baharunya, Choco Albab Spread yang telah dilancarkan pada Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi keutamaan Saudagar Asia Sdn. Bhd. (Saudagar Asia), pengeluar produk coklat berjenama Choco Albab untuk menembus pasaran Asia Tenggara dan mendapat kepercayaan masyarakat. 

Pengasas dan Ketua Eksekutif Saudagar Asia, Said Saiful Fazli Said Aluwi berkata, jenama Choco Albab kini giat mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa. 

“Selepas berjaya menembusi pasaran Singapura dan Brunei, syarikat merancang untuk meluaskan pasaran ke Thailand, Indonesia, dan Filipina dalam tempoh dua tahun akan datang. 

“Bagaimanapun, pada tahun ini, kami mengukuhkan pasaran di Singapura dengan menubuhkan syarikat Saudagar Asia PTE. LTD. di sana dan menyewa satu hab untuk menjalankan operasi seperti di Malaysia. 

“Hal ini kerana, usahawan atau agen di sana (Singapura) hampir mencecah 2,000 orang,” katanya selepas Majlis Pelancaran Produk Baharu Choco Albab Spread di sini.

Menurut beliau, choco Albab telah memperoleh pensijilan halal pada tahun lalu dan mengambil masa selama satu setengah tahun. 

“Sebahagian besar produk kami telah menerima sijil halal, namun beberapa produk baharu masih dalam proses kelulusan.  

“Ini kerana produk makanan sangat sensitif dan proses mendapatkan halal memerlukan pematuhan bukan sahaja dari aspek ramuan tetapi juga keadaan kilang. 

“Keperluan ini menjadi cabaran utama, namun ia mencerminkan komitmen syarikat terhadap standard kualiti tinggi, terutama bagi pelanggan Muslim,” katanya. 

Said Saiful Fazli berkata, halal bukan sekadar sijil, tetapi simbol kepercayaan dan tanggungjawab kepada pelanggan. 

“Pelanggan hari ini lebih prihatin terhadap apa yang mereka makan. Sebagai usahawan makanan, adalah tanggungjawab kita untuk memastikan halal menjadi keutamaan, terutama bagi produk tempatan. 

“Komitmen ini bukan sahaja menyokong kempen mendukung produk lokal, tetapi juga memperkukuh keyakinan pelanggan terhadap jenama tempatan seperti Choco Albab,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat optimis menyasarkan untuk mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak RM80 juta, seiring dengan penambahan produk dan agen sah pada 2025. 

“Sebelum ini, syarikat mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam jualan, dari RM8 juta pada tahun pertama, tahun kedua sebanyak RM22 juta, meningkat kepada RM50 juta pada tahun ini dan sasaran tahun hadapan ialah RM80 juta.  

“Ini juga berikutan dengan penambahan produk baharu seperti Choco Albab Spread dan pelbagai jenis produk lain, serta sasaran 200,000 agen sah baharu tahun hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN