PGB dijangka kekal prestasi stabil hingga akhir tahun

PGB dijangka kekal prestasi stabil hingga akhir tahun

MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham PGB dengan harga sasaran (TP) RM19.23 sesaham.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad (PGB) dijangka mengekalkan prestasi stabil sehingga akhir tahun dengan mengoptimumkan strategi kecekapan kos  untuk mengurangkan kesan buruk daripada tekanan inflasi, kata MIDF Research. 

Firma penyelidikan berkata, ia sekali gus mengutamakan pertumbuhan mampan serta pulangan kepada pemegang saham.  

Katanya, MIDF Research kekal optimis terhadap prospek jangka pendek PGB. 

“Dengan penerimaan Letter of Notification (LON) baru-baru ini untuk projek loji kuasa 100 megawatt (MW) di Kimanis, Sabah dan loji kuasa 120 MW di Labuan, kami menjangkakan PGB akan terus mengekalkan komitmennya terhadap pemuliharaan tenaga mampan serta peralihan dalam subsektor utiliti.  

“Pada masa akan datang, kami percaya PGB akan terus mencari peluang mengembangkan fasiliti dalam semua segmen, selaras dengan usaha dalam Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan pelaksanaan cukai karbon yang dijangka pada 2026. 

“Namun, cabaran seperti harga komoditi dan tenaga yang tidak menentu dijangka berterusan dan meningkatkan perbelanjaan operasi (opex) dalam masa terdekat.

“Ini juga termasuk ketidakpastian dalam kadar pertukaran mata wang asing, serta peningkatan kos perkhidmatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Menurutnya, risiko lain terhadap prospek jangka pendek PGB, termasuk perubahan dalam peraturan, dasar, dan undang-undang berkaitan penapisan dan pengangkutan. 

“Ini khususnya penerimaan gas asli sebagai sumber bahan api menggantikan bahan api berat karbon seperti arang batu,” katanya. 

Selain itu, firma itu berkata, tiada perubahan dalam anggaran pendapatan kumpulan itu. 

“Memandangkan keputusan kewangan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 adalah sejajar dengan jangkaan, tiada perubahan dibuat pada ramalan pendapatan kami untuk PGB. 

“Kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham PGB dengan harga sasaran (TP) RM19.23 sesaham,” katanya. 

Sebelum ini, PGB  mencatatkan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 sebanyak RM4.9 bilion, meningkat sebanyak 1.2 peratus, disokong oleh pendapatan caj tempahan yang lebih tinggi dalam segmen pemprosesan gas. 

Dalam masa yang sama, keuntungan normalisasi syarikat turut naik sebanyak tiga peratus kepada RM1.4 bilion. 

Peningkatan ini didorong oleh kos bahan api gas yang lebih rendah dan pengurangan liabiliti pajakan melalui penyelesaian awal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×