PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjelaskan pelan penstrukturan semula yang dirujuk di Parlimen pada 5 Disember 2024 tidak dibatalkan, sebaliknya ia telah diperhalus untuk menangani cabaran semasa dan peluang yang muncul selaras dengan situasi pasaran terkini.
Lembaga berkata, pelan penstrukturan baharu ini mencerminkan kepekaan dan daya tindak LTAT dan Kementerian Pertahanan dalam menangani isu kestabilan kewangan, mengurus liabiliti, mempelbagaikan pelaburan dan membina portfolio yang kompetitif serta mampan demi kepentingan semua pihak pemegang taruh.
LTAT menegaskan bahawa inisiatif pelupusan aset adalah suatu langkah strategik dan bukannya penyelesaian jangka pendek.
“Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pelaburan dalam Boustead-Affin dan ia selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menggesa LTAT untuk mempelbagaikan portfolio.
“Tatakelola dan proses pelupusan aset yang telus di setiap entiti Kumpulan LTAT adalah untuk memastikan penjanaan nilai optimum dapat dihasilkan dan dilaburkan semula ke dalam aset berdaya tinggi dan mampan untuk meningkatkan daya tahan kewangan LTAT serta menjamin kebajikan pencarum LTAT dalam jangka panjang.
“Transaksi akan dilaksanakan dengan ketelusan dan integriti yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Lembaga juga menegaskan semua transaksi yang dilakukan adalah sejajar dengan kepentingan strategik negara seperti yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi Madani.
LTAT berkata, mengenai dua transaksi yang dirujuk, LTAT menegaskan bahawa ia serta syarikat kumpulannya tidak memiliki sebarang tanah di Batu Kawan.
“Kenyataan mengenai pelupusan tanah ini adalah tidak benar dan mengelirukan,” katanya.
Sementara itu, mengenai transaksi Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), LTAT berkata Boustead Properties (BProp) telah menjemput 19 syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta untuk menyertai proses Notis Pelawaan Cadangan (RFP).
Katanya, daripada 10 syarikat yang menyatakan minat, hanya satu syarikat iaitu EcoWorld, syarikat milik majoriti bumiputera telah mengemukakan cadangan setelah melalui proses tender yang ketat dan telus.
“EcoWorld, melalui syarikat usaha sama Mutiara Balau Sdn. Bhd. (MBSB), di mana BProp merupakan pemegang saham minoriti telah dipilih selepas penilaian yang menyeluruh.
“Faktor utama dalam keputusan ini termasuk tawaran komersial kompetitif EcoWorld, cadangan pembangunan yang inovatif, kedudukan kewangan yang kukuh dan rekod pencapaian yang terbukti di Malaysia serta pasaran antarabangsa,” katanya.
LTAT berkata, pelupusan tanah di Semenyih kepada MBSB bertujuan untuk memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang sedang berkembang, meningkatkan nilai, serta menyokong objektif Ekonomi Madani.
Selain itu, katanya hasil tunai daripada transaksi ini akan memainkan peranan penting dalam membiayai program penanaman semula kelapa sawit oleh Boustead Plantation Bhd (BPlant), memastikan pemulihan tanah yang telah matang dan meningkatkan kecekapan operasi.-UTUSAN










