BERMULA daripada sekadar hobi memasak bersama, siapa sangka lapan sahabat itu berjaya mengubah kehidupan mereka dengan perniagaan Lidah Boya Rangup yang semakin mendapat permintaan ramai.
Menurut pengasas bersama Lidah Boya Rangup, Khaironi Ahmad Daud berkata, idea untuk memulakan perniagaan ini tercetus secara tiba-tiba kerana mereka sering memasak bersama-sama.
“Pada mulanya, kami sekadar memasak untuk suka-suka sahaja untuk mengisi masa lapang ketika bosan apabila kumpul bersama-sama.
“Namun, setelah berkongsi kepada kenalan rapat lain, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga kami memutuskan untuk menjadikannya sebagai perniagaan yang serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Khaironi, mereka mula mempromosikan produk itu kepada rakan serta saudara terdekat sahaja dan tidak menyangka akan mendapat sambutan yang hangat.
“Kami berjaya menjual sekitar 50 balang sebulan dengan harga pada awalnya dengan hanya mempromosikan kepada kenalan rapat.
“Setelah sebulan selepas aktif menjual, kami boleh menghasilkan dalam 100 balang seminggu dan boleh didapati di kedai-kedai runcit sekitar kawasan Larut Matang dan Selama,” ujarnya.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, mereka memulakan perniagaan itu dengan bermodalkan sekitar RM1,000 dan sehingga kini segala langkah penyediaan produk itu dibuat sendiri oleh mereka.
“Setelah masing-masing menguruskan urusan keluarga pada pagi, kami akan berkumpul untuk mengoreng dan membungkus kuih itu,” kongsinya.
Tambahnya, musim perayaan adalah waktu puncak bagi mereka dengan jualan boleh mencecah 200 hingga 300 balang semasa tempoh itu.
“Kami juga mengupah pekerja tambahan dari kalangan penduduk setempat untuk memenuhi permintaan ketika musim itu.
“Selain menjana pendapatan kami, perniagaan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat, terutama golongan wanita yang menjadi sebahagian daripada pasukan kami,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan itu, mereka sedang berusaha untuk memasuki melalui platform e-dagang.
“Dalam pelan jangka panjang, kami ingin menjual produk ini di platform Shopee dan TikTok kerana lebih ramai pelanggan di situ.
“Kami percaya, walaupun makanan ini tradisional, ia masih relevan dan digemari ramai. Dengan strategi pemasaran digital, kami dapat memperkenalkan produk ini kepada ramai orang.
“Kini, kami juga bercadang untuk meluaskan lagi jenama dengan memperkenalkan variasi baharu seperti berperisa keju dan lain-lain,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, tidak pernah terlintas di fikiran mereka makanan ringan yang sering dianggap biasa, boleh menjadi salah satu punca rezeki mereka.
“Kejayaan itu tidak datang dengan mudah. Ada masanya kami rasa seperti ingin berhenti kerana penat, tetapi kami saling memberi sokongan,” ujarnya.-UTUSAN










