Penyeludup beras dipercayai lemas terjun Sungai Golok

Penyeludup beras dipercayai lemas terjun Sungai Golok

LOKASI kejadian seorang penyeludp dikhuatiri lemas semasa melarikan selepas diserbu anggota PGA kawasan stor haram Ngoh, Pisau Raut, Tumpat, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Cubaan dua lelaki menyeludup lebih 1.2 tan metrik beras dan beras pulut bernilai RM5,412 dari Thailand bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikuhatiri lemas di Sungai Golok, berhampiran kawasan stor haram Pok Ngoh, Pisau Raut di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang itu, seorang daripada penyeludup itu dikhuatiri lemas ketika cuba melarikan diri daripada ditangkap anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 8 PGA mengesan pergerakan sebuah perahu enjin galah menghampiri tebing Sungai Golok ketika menjalankan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan stor haram tersebut.

Katanya, anggota PGA menghampiri perahu itu sebelum kedua-dua penyeludup itu terkejut dengan tindakan tersebut.

“Mereka berdua bertindak terjun ke dalam Sungai Golok dan berenang ke arah Thailand. Salah seorang suspek berenang ke tebing manakala seorang lagi lelaki tenggelam sebelum hilang daripada pandangan mata dan dikhuatiri lemas.

“Anggota PGA cuba mengendali perahu dinaiki kedua-dua penyeludup itu untuk memberikan bantuan, namun kipas enjin perahu tersebut tersangkut dengan kain sekali gus tidak dapat digunakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi berkata, anggota PGA kemudian melakukan  pemeriksaan di dalam perahu sebelum menjumpai 1,178 kilogram (kg) beras dan 100 kg beras pulut yang dipercayai diseludup dari Thailand.

Katanya, usaha mengesan dan mencari mangsa yang dikhuatiri lemas dijalankan secara bersama oleh pihak berkuasa Malaysia dan Thailand.

Menurutnya, semua rampasan beras diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×