MUKADIMAH
PILIHAN RAYA Negeri (PRN) Melaka semakin menghampiri fasa penentuan, dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yakin mampu mempertahankan momentum sokongan rakyat, memperoleh majoriti undi lebih besar berdasarkan prestasi kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, DATUK MOHD. NOOR HELMY ABDUL HALEM berkata, hubungan dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan tidak menghilangkan kemungkinan kedua-dua parti kembali bertembung di medan pilihan raya, malah BN bersedia untuk melawan secara ‘gentleman’.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, ROSHIHAN ANNUAR YUB dan IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dibantu jurufoto SHIDDIEQIIN ZON dan juruvideo, MUHAMMAD FARIS MD IDERIS, pemimpin popular dalam kalangan rakyat pelbagai kaum ini turut berkongsi solidariti terhadap kepemimpinan Ab Rauf, ugutan dalam menangani isu Rohingya serta hala tuju khidmat bakti di Duyong.
POPULAR BUKAN JAMINAN
MINGGUAN MALAYSIA: Ada yang kata Datuk seperti sudah selesa di Duyong. Ada sebarang perancangan untuk bertanding kawasan lain?
Saya tidak tahu. Akan datang ini saya bertanding atau tidak pun saya belum tahu lagi. Sebab belum ada pengumuman lagi.
Kedua, saya dipilih atau tidak pun saya pun tidak tahu. Hari ini mungkin saya rasa saya famous (terkenal) tapi akhirnya rakyat yang memilih.
Saya pun tidak tahu kalau kata parti tiba-tiba membuat keputusan yang macam dicakapkan ini, cuba (tanding) di tempat lain. Saya tidak berani hendak cakap sekarang.
Tapi saya sudah menzahirkan kepada parti. Kalau hari ini saya masih ada kepercayaan, saya masih lagi memilih Duyong. Bukan sebab ada benda yang tidak dilaksanakan, tapi berbeza jika kita bekerja di tempat kita dibesarkan, rata-rata saya kenal, sentimen itu sudah jadi berbeza.
Kalau saya dipindahkan ke tempat lain, saya kena belajar banyak perkara baru. Saya kena mulakan balik daripada kosong. Itu satu cabaran.
Jika diberi pilihan tanding di Parlimen, bagaimana Datuk melihat peluang itu?
Parlimen ini lebih banyak melibatkan dasar. DUN ini khidmat bakti, budi. Saya ini bila melibatkan dasar, duduk atas buat paper work ini, buat kajian ini, kurang sikitlah.
Saya akur dengan apa sahaja keputusan parti. Tapi saya takut saya dekat mana. Saya tiada kualiti yang memenuhi kriteria-kriteria seorang Ahli Parlimen, rugi nanti. Lebih baik beri peluang kepada orang yang lebih berkualiti dan berkemampuan untuk mengisi. Saya tahu kemampuan saya di tahap mana.
‘CINTA’ TIDAK KESAMPAIAN
Bagaimana Datuk melihat hubungan UMNO/BN dan DAP Melaka?
Saya mengikut keputusan parti. Apabila parti telah memilih untuk kita bekerjasama membentuk kerajaan, kita akurlah. Kalau kata hendak berlawan, kita berlawanlah.
Saya dulu berlawan dengan DAP turun naik mahkamah, jual rumah untuk bayar saman fitnah, saya kalah saman fitnah, tapi bila kerajaan dibentuk oleh Kerajaan Perpaduan dan Melaka memilih untuk ikut kerajaan Persekutuan, saya akur sebab kita ini sama-sama dalam blok kerajaan.
Dan saya tahu ada hak orang Duyong di tangan Ahli Parlimen saya (Parlimen Kota Melaka). Samalah Ahli Parlimen saya bila hendak bekerjasama dengan saya. Sebelum ini hari-hari saya ‘balun’ dia, agak-agak hati dia tidak sakitkah tengok saya?
Begitu juga penyokong-penyokong saya tengok penyokong dia, tidak sakit hatikah? Atau penyokong dia tengok penyokong saya tidak sakit hati? Sakit, sama sahaja. Masing-masing kena turun ego, kita sama-sama. Kita ada berbeza pendapat, pandangan tetapi apa yang kita ada yang sama, kita kena utamakan rakyat. Jadi, kita beri khidmat bakti kepada rakyat dulu.
Masing-masing buat kerja masing-masing, peruntukan daripada menteri dia, bawa turun, peruntukan dari menteri UMNO saya bawa turun, yang penting dapat manfaat adalah rakyat.
Sebagai ADUN, itu adalah rakyat saya, sebagai ahli parlimen, itu adalah rakyat dia. Masing-masing ada kepentingan sendiri.
Tapi hari ini cinta itu (hubungan BN-PH) tidak kesampaian. Tapi tidak tahulah kemudian apa akan berlaku. Jadi, sampai masa kalau berlawan, lawanlah. Tapi kita ‘gentleman’lah.
Saya akui kita pernah berkawan dan sebelum ini kita juga pernah berlawan. Tapi akhirnya nanti waktu pengundian (pilihan raya) ini saya tidak tahu, berkawan atau berlawan.
Tapi pada masa sama, dia pun kena gentleman. Apa yang kita sumbangkan, dia pun kena akui, dan apa yang dia sumbangkan kita akui. Akhirnya, biarlah rakyat yang menilai mana yang mereka lebih percaya.
PERNAH DIUGUT, DIANCAM
Datuk agak vokal di media sosial, bongkar pelbagai isu termasuk warga asing dan Rohingya di Duyong, pernah terima ancaman dan ugutan?
Ada. Kalau tanya saya tidak takutkah? Takkanlah saya kata tiada perasaan takut. Itu bohong.
Sedikit sebanyak saya ada takut. Takutlah juga kadang-kadang nyawa anak-anak saya di sekolah menjadi ancaman. Kalau saya ini, mungkin tidak jadi masalah. Saya ini di Duyong. Kalau saya kena kejar, saya tahu saya hendak lari menyorok dekat mana.
Kalau saya kena kejar dekat Semabok, saya tahu rumah siapa saya hendak sembunyi. Kalau kena dekat Seri Duyong, saya tahu dekat mana saya hendak masuk keluar balik, sebab saya besar di sana. Kawan-kawan saya ramai. Saya tahu hendak buat apa.
Tapi kadang-kadang takut juga bila anak-anak atau ahli keluarga saya menjadi mangsa. Tapi apa pilihan yang saya ada? Kalau hari ini saya tidak bersuara, saya tidak keras, mungkin tidak ada tindakan sampai bila-bila.
Tapi kerana hari ini saya memilih untuk berkeras, bersuara, ada kesan. Mungkin kesan itu tidak sebesar mana, tapi paling tidak, ada perubahan.
Setakat ancaman ini biasa, WhatsApp, ugutan pernah ada, sumpah seranah ini biasa. Saya juga pernah terima ugutan daripada persatuan pencinta haiwan, yang ugut saya macam-macam bila kita ambil tindakan terhadap anjing-anjing liar. Dia membela, kita pun faham kau mencintainya tetapi anjing-anjing ini telah mempunyai kesan kepada masyarakat. Itu antaranya.
Berkenaan Rohingya ini memang saya ada terima ugutan. Di Duyong ada dua kawasan yang sangat ekstrem (kehadiran Rohingya), jumlah lebih kurang 200 orang di Duyong. Jadi, bukanlah kata kita dapat kawal sepenuhnya, tetapi lebih baiklah dari masa mula-mula dahulu. Ada pendekatan dengan cara kita, terkawal.
POSTER BOY MELAKA HANYA AB RAUF
Baru-baru ini ada gerakan memetik nama Datuk bersama beberapa lagi ADUN dan mahu melaga-lagakan dengan Ketua Menteri. Namun sekian hari kita lihat sokongan padu rakyat kepada Ketua Menteri yang sering bersama dalam program rakyat, adakah cubaan gerakan ini dilihat satu tanda pihak terbabit mula terancam dengan kewibawaan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh?
Ya, saya setujulah benda itu. Sebenarnya, isu timbul bila mana pihak terbabit tidak boleh hendak pecahkan belah, tidak boleh cari kelemahan, jadi dia timbulkan perbalahan. Ini yang sedang dilakukan. Tapi, saya yakin dan percaya Datuk Seri Ab Rauf kenal ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik oleh beliau sendiri, beliau yang menamakan kami semua ketika waktu awal penamaan calon pilihan raya.
Mula-mula kita gelak ketawalah bila tengok perkara inikan sebab ia adalah gosip. Biasalah. Siapa-siapa pun boleh tulis. Tapi bila kita tengok gerakan ini macam lebih kepada tersusun, nampak sistematik. Macam satu usaha.
Jadi, kita keluarkan juga kenyataan bahawa apapun berlaku poster boy negeri ini satu sahaja, Datuk Seri Utama Abdul Rauf Yusoh. Itu telah disetujui bersama oleh kepemimpinan kami di peringkat negeri. Tidak payah hendak ubah-ubah lagi.
Perlu diingatkan, ketika Ab Rauf masuk menjadi pemimpin nombor satu Melaka, dia masuk dalam keadaan negatif. Belum buat apa-apa lagi orang sudah tuduh dia macam-macam, itulah inilah.
Tapi dia buat satu, satu, satu, dia berani buat perubahan walaupun macam-macam orang kata, persenda tapi perubahan itu tetap dilaksana.
Akhirnya hari ini dari 2024 pelancong datang ke Melaka 15 juta orang, 2025 15 juta orang, 2026 saya rasa sekarang ini pun sudah hampir 10 juta, sedangkan baru bulan lapan. Jutaan yang masuk, jutaan juga duit yang dibelanjakan di Melaka, membantu sistem ekonomi Melaka. Itu yang cash money yang segera.
Kita melihat pelaburan yang menanti untuk masuk ke Melaka. Satu-satu kawasan perindustrian dibuka, menawarkan peluang pekerjaan di hari muka. Kita pula masa yang sama tengah memperkasakan TVET. Sebagai persediaan, mereka bekerja dengan gaji yang lebih mulia.
Ini sebenarnya hari ini, apa lagi kita mahu pertikaikan kemampuan beliau sebagai pentadbir negeri Melaka. Jadi, orang luar tidak payah hendak laga-lagakan kami. Kami tahu siapa ketua. Kamu boleh berkata macam-macam. Tetapi akhirnya kata-kata itu tidak akan memberi apa-apa ancaman.
Hari ini, saya berani menzahirkan bahawa seluruh kepimpinan UMNO Melaka daripada pingkat cawangan, bahagian dan negeri memberi sokongan penuh di belakang kepemimpinan Ab Rauf.
Dengan sokongan padu rakyat dan prestasi Ketua Menteri yang memberangsangkan, adakah ia bakal melihat majoriti lebih besar dimenangi bagi kawasan ditandingi calon BN berbanding pada PRN lalu?
Ketika 2018, UMNO/BN ini satu parti yang sangat dibenci, nak pakai baju BN ini macam satu penghinaan dan ketika itu saya menyertai politik secara mainstream, kalau tidak saya juga hanya sekadar pemimpin di peringkat cawangan, hancur lebur BN dibalun ketika itu. Pakai baju dacing rasa macam ‘penjenayah’.
Namun atas perubahan, reform UMNO itu sendiri, sedikit demi sedikit dengan kepemimpinan Presiden parti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kita nampak pada 2020 Allah takdirkan UMNO/BN jadi sebahagian kerajaan di Melaka dan di Malaysia.
Pada 2022 habis kalah Parlimen, orang benci balik, dan selepas itulah kita membina semula reputasi, menzahirkan segala janji dengan memberi bukti khidmat bakti dan masa depan yang lebih berkualiti.
Di bawah kepemimpinan Ab Rauf saya percaya PRN akan datang ini keputusannya pasti berbeza, bukan lagi kata (majoriti) 100 undi sebagai bukti sokongan, tetapi angkanya akan jauh lebih tinggi daripada yang kita jangka.
BN MAMPU BERDIRI ATAS KEKUATAN SENDIRI
Adakah Datuk yakin momentum gelombang biru akan terus menguasai PRN Melaka?
Bukan mahu meninggi diri, bukan mahu menafikan sumbangan yang diberi oleh rakan kongsi, tetapi ketika mana UMNO ingin membuat perubahan pada 2018, saya yakin dan percaya ketika itu, Datuk Seri Presiden bersedia untuk kita berdiri sendiri.
Jadi, didoktrinkan ketika itu kepemimpinan baru bahawa kita kena kembali di atas kekuatan sendiri, bukan atas ihsan sesiapa lagi. Tetapi hari ini dinamika politik itu sudah berbeza. Kerjasama merupakan satu kelebihan yang untuk sama-sama rasa.
Kerjasama, tidak kisahlah sama ada di kanan atau kiri, pasti akan memberi keuntungan kepada mana-mana kelompok dan saya yakin kepimpinan parti memilih yang terbaik antara yang terbaik.
Tetapi itu sekadar melengkapkan acara, yang paling penting UMNO dan BN itu mampu berdiri di sini tanpa siapa-siapa.
Siapa-siapa itu bukan maksud saya apa, maksud saya adalah akan kongsi politik yang sama. Jadi, kita jangan mengharapkan kita kena kerjasama dengan A, kita jangan harapkan kerjasama dengan B, baru boleh menang. Kalau itu yang kita harapkan, kita masih lemah lagilah sebenarnya. Kita kena berjuang, kuatkan parti supaya kita boleh berdiri di atas kaki sendiri. Bukan hanya orang perlukan kita untuk melengkapkan sistem tetapi orang perlukan kita untuk tumpang menang bersama.
TIDAK BOLEH ADA DUA SINGA
Melaka banyak melahirkan pemimpin muda yang lantang, Datuk dilihat lebih ‘tenang’ berbeza karakter dengan Ketua Pemuda Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh. Jadi bagaimana hendak mengimbangi dalam menarik pengundi?
Sebenarnya, apa yang selalu ditawarkan UMNO lengkap. Ada harimau, ada singa, ada musang juga, karakter berbeza-beza. Tapi akhirnya, kita kembali pada objektif yang sama, mempertahankan apa yang kita percaya. Mungkin perdekatan Datuk Dr. Akmal berbeza sebab atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pemuda, perlu lantang bersuara, berani menunjukkan dirinya di hadapan dan yang paling penting dia membawa aspirasi orang Melayu juga.
Saya memilih pendekatan untuk tenang-tenang saja, selesaikan cara baik, tidak boleh ada dua singa dalam satu kawasan, nanti sama-sama singa takut bercakaran, dalam masa yang sama takut hutan jadi kosong sebab ada dua singa ini yang mengaum.
Ini politik dalam keadaan yang berbeza, kapasiti Datuk Akmal atas sifat dia sebagai Ketua Pemuda, saya ini ADUN kampung yang jaga Duyong sahaja. Tapi akhirnya bila kita tengok-tengok, kita sebenarnya saling melengkapi sistem yang ada. Dia tetap Ketua Pemuda saya. Apa berlaku pun saya harus pertahankan, sebab dia mewakili aspirasi orang ramai yang rata-rata bersama kita.
‘BUAH BELUM MASAK JANGAN DIJOLOK’
Baru-baru ini lawan Datuk di kerusi Duyong pada PRN lalu memberi pujian malah turut melihat Datuk berpotensi untuk menjadi Ketua Menteri Melaka satu hari nanti, komen Datuk?
Ada pepatah lama mengatakan, buah yang belum masak jangan dijolok, sebab kalau buah gugur tetap tidak boleh dimakan, tapi buah yang sudah masak jangan dibiarkan begitu, takut nanti busuk di atas pokok.
Jadi apa pun saya serahkan kepada kepemimpinan parti. Namun untuk menghadapi PRN dan PRU16, saya tetap menyokong kepemimpinan Datuk Seri Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka.
Beliau sudah mulakan, cucuk tanam pokok, YB lain tukang siram, buang rumput, letak baja, sekarang pokok sudah mula berbuah, tapi yang tahu ragam pokok ini tetap tukang tanam. Jadi tukang tanam ini perlu ada untuk pastikan buah itu dapat dinikmati oleh semua.
Pandangan Datuk mengenai penyatuan Melayu dan konsep Rumah Bangsa?
Kelemahan orang Melayu berlaku apabila kita berpecah-belah, mungkin kerana perbezaan prinsip dan hilangnya kepercayaan sesama kita. Tetapi hari ini, Presiden UMNO telah menawarkan sesuatu yang berbeza. Kita lupakan sengketa lama. Kita buka lembaran baharu dan meletakkan kepentingan bangsa sebagai perkara yang utama.
Dalam konteks penyatuan bangsa, konsep Rumah Bangsa ini amat saya alu-alukan. Sebenarnya, kita sedang mengumpulkan hati-hati yang berbeza dengan meletakkan keutamaan kepada satu perkara yang sama.
Namun, kita perlu menguruskannya dengan bijaksana kerana kadang-kadang ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan konsep ini sebagai doktrin politik dengan mengatakan bahawa kita akan mengabaikan bangsa-bangsa lain. Hakikatnya, perkara itu tidak pernah berlaku.
Hari ini, sebagai contoh di Melaka, secara rata-rata semua orang, sama ada Melayu, Cina mahupun India, dilayan dengan adil. Saya ambil contoh di Duyong. Populasinya terdiri daripada 64 peratus Melayu, 31 peratus Cina dan 5 peratus India. Tetapi apabila kita melihat konteks penerima bantuan, kira-kira 6 peratus orang Melayu adalah penerima bantuan, 6 peratus orang India menerima bantuan dan 4 peratus orang Cina menerima bantuan.
Daripada segi pemberian bantuan pun, kita melayan masyarakat dengan hampir sama rata. Apatah lagi perkara-perkara yang memberikan kepentingan kepada semua. Apabila kita bercerita tentang masyarakat, tidak ada cerita mengenai Melayu, Cina atau India. Kita bercakap tentang orang Melaka.
Hari ini, seperti saya di Duyong, orang tidak lagi melihat seseorang itu sebagai Melayu, Cina atau India. Mereka tetap menyebutnya sebagai orang Duyong.
Jadi, konsep Rumah Bangsa hari ini kita lihat dalam konteks penyatuan orang Melayu terlebih dahulu. Selepas ini, kita akan melihat kepada konteks lebih besar, iaitu dalam penyatuan Rumah Bangsa Malaysia.
Datuk setuju atau tidak bahawa hari ini rakyat lebih memilih pemimpin berbanding parti?
Ya, saya setuju. Hari ini rakyat sudah mula kurang percaya kepada mana-mana parti. Rata-ratanya begitu.
Tambahan pula, bagi pengundi kali pertama, kebanyakannya mungkin tidak begitu mengikuti politik semasa. Mereka lebih menilai berdasarkan apa yang mereka lihat di depan mata, pemimpin yang sentiasa bersama mereka.
Jadi, mereka akan menilai siapa pemimpin yang benar-benar bekerja dan siapa yang lebih banyak berkata-kata. Bagi rakyat, kita boleh bercakap tentang pelaburan berjuta-juta ringgit atau angka besar, tetapi itu bukan lagi perkara utama. Mereka mahu tahu, esok mereka boleh pergi bekerja dengan selesa dan selamat, mendapat gaji yang mencukupi serta mampu menanggung keluarga.
Rakyat lebih memandang kepada kehidupan mereka sendiri. Soal mengisi perut, keselamatan dan kesejahteraan hidup. Jadi, sesiapa yang mampu menawarkan dan memberi jaminan terhadap keselesaan serta kehidupan yang lebih baik, pasti akan menjadi pilihan rakyat. – Mingguan Malaysia










