PENGANGKUTAN awam lebih daripada sekadar keperluan untuk bergerak tetapi ia adalah pemangkin yang signifikan sekali untuk pembangunan bandar dan kesaksamaan sosial.
Melalui penyediaan pilihan transit yang mampu milik, cekap dan mampan, pengangkutan awam berupaya mentransformasi kualiti hidup penduduknya, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesan negatif kepada alam sekitar.
Oleh itu, Transit Aliran Ringan (LRT) 3 Laluan Shah Alam yang dijangka akan beroperasi pada suku ketiga tahun 2025 sudah pastinya akan melengkapkan keperluan sistem pengangkutan Lembah Kelang, setelah projek pembinaan sebelum ini iaitu LRT, Monorail dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang dan Putrajaya.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pembinaan infrastruktur pengangkutan awam membantu membuka kawasan perumahan baharu, untuk memenuhi permintaan perumahan mahupun pejabat dan hartanah komersial.
Katanya, pembinaan pengangkutan awam mengurangkan tekanan kepada pengguna jalan raya dengan mengalihkan aliran trafik yang tinggi bukan sahaja pada waktu puncak tetapi kini sudah hampir pada sepanjang masa.
“Walaupun masih dalam pembinaan, projek pembinaan infrastruktur pengangkutan awam sudah pun memberikan kesan positif kepada ekonomi.
“Misalnya harga hartanah sekeliling mulai meningkat dan transaksi penjualan menjadi aktif termasuk pasaran sewa.
“Ini bermula dengan keperluan untuk memenuhi permintaan para pekerja dan perniagaan yang terlibat dalam projek pembinaan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, industri lain turut menerima tempiasnya seperti makanan dan minuman serta pengangkutan dan ini jelas menjadi pemangkin kepada ekonomi walaupun semasa pembinaan berlaku dan pasti berlanjutan selepas ia disiapkan.
“Aktiviti pembinaan yang aktif juga menjadi rangsangan positif dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke kawasan-kawasan yang terlibat, kerana ia menjadi indikator ekonomi sihat dan berkembang baik.
“Pengangkutan awam bukan sahaja mencipta pekerjaan baharu melalui fungsinya, seperti pemandu, pekerja pejabat, pekerja sokongan penyelenggaraan dan banyak lagi.
“Ia juga menghubungkan orang ramai kepada peluang pekerjaan dalam komuniti mereka. Penduduk boleh dengan mudah berulang-alik ke tempat kerja mereka setiap hari melalui pengangkutan awam,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, secara umumnya, pengangkutan awam seperti LRT dilihat mempunyai kesan pengganda kepada ekonomi setempat terutamanya dari segi nilai hartanah.
Katanya, kewujudan stesen LRT di sesebuah kawasan akan menggalakkan permintaan terhadap hartanah kediaman terutamanya yang berhampiran dengan stesen LRT.
“Selain itu, ia akan menggalakkan sektor komersial seperti rumah kedai, pasar raya, ruangan pejabat serta perkhidmatan logistik seperti bas dan teksi atau e-hailing yang akan merancakkan ekonomi setempat.
“Sebelum itu, pembinaan LRT ini juga memerlukan teknologi yang tinggi seperti pembinaan terowong, landasan dan stesen akan mewujudkan permintaan terhadap bahan binaan, mesin, peralatan dan juga buruh mahir seperti jurutera, arkitek dan sebagainya.
“Sepanjang tempoh pembinaan tersebut akan memberi impak positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setempat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga akan diterapkan yang akan membantu dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), sekali gus membantu dalam mengurangkan risiko iklim.
“Penggunaan LRT ini juga mengurangkan pelepasan GHG dan membantu dalam memendekkan jangka masa perjalanan penumpang ke destinasi yang dituju, sekali gus membantu dalam meningkatkan produktiviti. Oleh itu, pembinaan infrastruktur LRT memang ada kebaikannya,” jelasnya.-UTUSAN










