FBMKLCI dijangka catat pertumbuhan kukuh  8 peratus pada 2025

FBMKLCI dijangka catat pertumbuhan kukuh  8 peratus pada 2025

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang kukuh sebanyak 8.0 peratus pada 2025 berbanding 12 peratus pada 2024 dan 5.0 peratus pada 2023, menandakan tahun ketiga berturut-turut pertumbuhan, menurut CIMB Securities. 

Pertumbuhan ini dipacu oleh dasar-dasar kerajaan Madani seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), serta pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh, termasuk pelaburan besar dalam pusat data.

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia yang kukuh, iaitu 5.2 peratus pada 2024 dan 5.0 peratus pada 2025, yang didorong oleh permintaan domestik yang kuat dan pemulihan eksport yang menyeluruh.

“Selain itu, program meningkatkan pulangan pemegang saham berpotensi untuk memperkenalkan program bagi meningkatkan pulangan kepada pemegang saham syarikat tersenarai (seperti program Value-Up di Jepun dan Korea Selatan) dapat meningkatkan minat pelabur asing di Malaysia. 

“Di samping itu, kami meramalkan ringgit akan mengukuh sebanyak 2.2 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pertengahan tahun kepada RM4.35/AS$1 yang dijangka menarik lebih banyak aliran masuk dana asing. Ini, digabungkan dengan kecairan domestik yang kukuh, dijangka menyokong pengembangan penilaian harga kepada pendapatan (P/E) (Price-to-Earnings).

“Malah, peningkatan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Malaysia serta keperluan pelaporan kelestarian yang dipertingkatkan dijangka menarik pelabur asing yang semakin menekankan kriteria ESG dalam keputusan pelaburan mereka,” katanya dalam nota penyelidikan. 

CIMB Securities menjelaskan, pasaran Malaysia dijangka mencatatkan pulangan positif pertama sejak 2020 pada  2024, disokong oleh pertumbuhan pendapatan korporat yang semakin baik, kerajaan yang stabil, dan ringgit yang lebih kukuh tiga peratus dari awal tahun sehingga kini (YTD). 

“Data aliran dana menunjukkan bahawa kadar penyertaan pelabur asing dalam dagangan pasaran pada 2024 telah mencapai tahap tertinggi berdasarkan rekod kami. 

“Namun, data juga menunjukkan bahawa prestasi pasaran YTD 2024 didorong terutamanya oleh pembelian bersih dari pelabur institusi tempatan, manakala kumpulan pelabur lain termasuk pelabur asing  telah menjadi penjual bersih. 

“Melihat ke 2025, kami percaya pembelian bersih yang lebih tinggi oleh pelabur asing akan menjadi pemangkin utama untuk mengembangkan penilaian pasaran,” katanya. 

Pada masa ini, firma penyelidikan berkata, tahap pemilikan asing bukan strategik bagi saham KLCI hanya pada 16 peratus, berbanding dengan paras tertinggi sejarah iaitu 20 peratus. 

“Analisis mendalam kami mendedahkan pegangan terbesar pelabur asing tertumpu pada sektor perbankan, utiliti dan penjagaan kesihatan,” katanya. 

CIMB Securities menyemak sasaran KLCI hujung 2025 kepada 1,763 mata untuk mencerminkan penyertaan konstituen baharu, sambil mengekalkan sasaran hujung 2024 pada 1,635 mata.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×