BYD M6 - Selesa tapi perlu berani

BYD M6 – Selesa tapi perlu berani

BYD M6
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENDERAAN pelbagai guna (MPV) adalah genre kenderaan yang popular di kalangan pengguna Melayu kerana sering pulang ke kampung bersama keluarga.

Di Malaysia, kebanyakan MPV datang dengan pilihan enjin petrol, dan ada dua yang menggunakan enjin diesel – Kia Carnival dan Hyundai Staria.

Kini, kita mempunyai satu lagi pilihan – BYD M6, sebuah MPV elektrik.

Namanya mungkin sama seperti jentera BMW M6 dari Jerman, tetapi BYD ini langsung tidak mempunyai fokus ke arah prestasi seperti BMW. Malah, ia terus membuktikan syarikat automotif China tidak endah tentang dunia selain dari negara mereka sendiri dan ini membuatkan mereka unik.

BMW tidak patut risau kerana tidak ada satu inci pun pada BYD ini yang akan mengingatkan sesiapa kepada model M6 mereka.

Sekali imbas, BYD M6 akan mengingatkan kita kepada Toyota Wish atau Honda Stream dan ini memang boleh diterima kerana saiz mereka juga hampir sama.

Gaya reka bentuk juga hamper sama, cuma BYD ini sebenarnya mempunyai ketinggian bumbung yang lebih tinggi, disorok dengan jayanya oleh garisan tingkap yang menguncup di belakang, memberikan bayangan ia rendah.

Mahu atau tidak, BYD perlu memberi ruang kepada lapisan bateri di dalam lantai dan ia akan memakan ruang kabin jika siling bumbung tidak ditinggikan. Apapun, dari segi reka bentuk, ia adalah percubaan yang cukup cemerlang. Seperti kenderaan elektrik (EV) lain, lampu-lampu pada M6 ini adalah dari jenis LED dan seperti kebanyakan produk dari China, permainan plastik berkrom tetap wujud.

Logo-logo BYD juga ada di merata-rata M6 ini, mungkin kerana runsing orang masih tidak kenal jenama mereka ataupun risau pemilik kenderaan ini terlupa ia sedang memandu sebuah BYD.

Dua varian yang ditawarkan tetapi unit pandu uji ini ialah M6 Extended, varian paling mahal dengan jarak gerak paling jauh – 530 kilometer (km) (NEDC) dari

bateri LFP bersaiz 71.8 kilowatt perjam (kWh). Tenaga maksimum

pula ialah 201 hp dan kadar daya kilas maksimum ialah 310 Nm.

Jika anda mahu sebuah MPV yang boleh memecut lebih pantas dari Toyota Vios “bikin” milik jiran anda, BYD M6 adalah jawapannya.

Kadar pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) boleh dilakukan dalam 8.6 saat dan had laju maksimum dibataskan kepada 180 km/j.

Pengecas terbina yang ada pada M6 Extended ini pula ialah 7kW untuk AC dan 115kW untuk DC.

Ruang kabin tidak begitu mengujakan, tetapi masih dilengkapi dengan aksesori pintar zaman kini.

Tidak seperti BYD Dolphin yang mempunyai papan pemuka yang unik dan berwarna-warni, M6 memilih warna-warna gelap dan reka bentuk yang canggih sedikit dari

Proton Exora.

Seperti Dolphin, M6 turut mempunyai skrin sesentuh 12.8 inci yang boleh diputarkan dan menggunakan aplikasi Apple CarPlay dan Android Auto. Satu perkara

menarik ialah sistem hiburan M6 ini boleh menerima fungsi mikrofon, memungkinkan anda berkaraoke bersama keluarga sementara melalui laluan sesak di Gua Musang ketika musim Hari Raya Aidilfitri nanti.

Varian Extended juga didatangkan dengan bumbung panoramic dan kawalan elektrik untuk tempat duduk barisan hadapan serta beberapa kemewahan lain. Dari segi keselamatan, sistem ADAS yang lengkap, enam beg udara, kamera 360 darjah dan sensor parkir diberikan.

Ruang dalam M6 ini adalah seperti ruang kabin Proton Exora – bermakna ia lebih luas dari Toyota Wish atau Honda Stream tetapi tidak sebesar Toyota Zenix. Anda

masih mampu memuatkan dua orang dewasa bersaiz biasa di barisan ketiga tetapi sudut condong tempat duduk itu tidak begitu selesa untuk perjalanan jauh.

Ruang but juga memadai untuk genre ini, tetapi lebih afdal jika dipasang kotak kargo pada bumbung.

Dari segi pengendalian, BYD M6 memberikan tumpuan kepada keselesaan. Dengan tenaga elektrik, daya pecutan cukup memberangsangkan dan sangat membantu ketika kita mahu memotong atau keluar dari persimpangan yang sibuk. Ia juga senyap kerana tidak ada enjin, cuma dengung tayar dan desiran angin yang masuk.

Bunyi angin semakin bising bila kelajuan meningkat, malah lebih bising dari Dolphin, menunjukan hiraki M6 ini di dalam barisan produk-produk BYD – di tahap kemasukan atau model mampu milik.

Kelebihan kenderaan elektrik ialah keupayaannya untuk memberikan hantaran daya kilas yang tinggi dari titik ia bergerak – dan selain dari pecutan yang segar, ia juga sebenarnya ada kegunaan yang lebih praktikal, iaitu membenarkan MPV ini mendaki bukit dengan lebih mudah walaupun penuh dengan beban.

Jarak gerak rasmi yang diberikan untuk M6 Extended ini ialah 530km mengikut kiraan NEDC tetapi jika dikira mengikut cara WLTP yang lebih tepat, ia turun kepada 460km dan itu ialah angka yang paling hampir dicapai oleh penulis.

Jarak itu cukup jauh sebenarnya untuk perjalanan balik ke kampung tetapi tidak mencukupi jika anda melencong ke tempat lain.

Peminat tegar EV mungkin lebih sesuai menggunakan MV elektrik kerana mereka lebih rajin membuat perkiraan berkaitan perjalanan mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN