PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) untuk memajukan teknologi dan kecekapan operasi dalam sektor eksplorasi dan pengeluaran (E&P) Malaysia.
Menurut kenyataannya, MoU pertama yang ditandatangani dengan Schlumberger WTA (Malaysia) Sdn. Bhd. (SLB) memfokuskan pada meningkatkan keupayaan teknikal dalam kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin (ML) dan teknologi AI generatif.
Katanya, kerjasama itu akan menyokong operasi luar pesisir Malaysia, memberikan nilai yang dipertingkatkan kepada Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) yang baru muncul.
“MoU kedua dengan Velesto Drilling Sdn. Bhd. (Velesto) dan NOV Inc (NOV) mewujudkan rangka kerja untuk menggunakan sistem automasi penggerudian NOV dan teknologi robotik pada pelantar kendalian Velesto.
“Kerjasama ini bertujuan untuk mengoptimumkan operasi penggerudian di Malaysia dengan meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan menyokong inisiatif kemampanan Petronas.
“Selain itu, perkongsian itu bertujuan untuk memacu penggunaan teknologi, mempromosikan penyelesaian inovatif di seluruh sektor huluan Malaysia,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan di Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024, yang berlangsung dari 4 hingga 7 November di Abu Dhabi.
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, kerjasama strategik dengan SLB, Velesto dan NOV ini menandakan lonjakan ke hadapan bagi MPM dan sektor E&P Malaysia.
“Dengan menerima transformasi digital, kami bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga membuka jalan bagi penyelesaian data generasi akan datang yang membawa nilai yang besar kepada PAC kami, terutamanya pemain baru muncul dan pelabur baharu.
“Melalui perkongsian ini, kami membina ekosistem yang kukuh untuk membolehkan akses kepada PAC kami,” ujarnya.
Beliau berkata, perbincangan untuk merintis data SLB dan platform AI telah menjana minat yang kukuh dalam kalangan PAC Aset Medan Kecil (SFA) dan Aset Hayat Lewat (LLA) mereka.
Petronas kekal komited untuk memastikan bekalan minyak dan gas yang selamat dan mampan untuk keperluan tenaga Malaysia, sambil giat memajukan operasi karbon rendah dan pelepasan rendah untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.-UTUSAN










