MTA lancar pelan transformasi strategik

MTA lancar pelan transformasi strategik, pacu fasa pertumbuhan industri takaful

ELMIE Aman Najas (kiri) bersama Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed pada pelancaran Pelan Transformasi Strategik Hijrah27 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Persatuan Takaful Malaysia (MTA) melancarkan Hijrah27, sekali gus memperkukuhkan pelan transformasi strategik yang menetapkan hala tuju masa depan industri takaful. 

Pengerusi MTA, Elmie Aman Najas berkata, industri Takaful telah berkembang dengan pesat dalam tempoh empat dekad, bermula dari penetapan prinsip-prinsip dan rangka kerja asas hingga perluasan kehadirannya di pasaran dan penaiktarafan struktur tadbir urus. 

“Peningkatan kadar penembusan juga menggalakkan dengan lonjakkan kepada 20 peratus berbanding 15 peratus, mencerminkan penerimaan takaful yang semakin meningkat. 

“Dalam tempoh 10 tahun sahaja, aset takaful telah meningkat lebih dua kali ganda kepada RM55.6 bilion berbanding RM23 bilion pada 2014.

“Memandang ke hadapan, kami mahu menjadikan takaful lebih relevan, mudah diakses dan dapat memberi impak. Itulah mandat kami. 

“Kami bercita-cita besar menjadikan perlindungan takaful lebih inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat Malaysia yang pelbagai, memangkin dan memastikan kelestarian momentum pertumbuhan takaful,” katanya dalam ucaptama sempena Majlis Pelancaran Hijrah27 di sini, semalam. 

Beliau berkata, MTA akan terus menekankan kerjasama, kesedaran yang menyeluruh serta inovasi produk dan perkhidmatan. 

“Ini bagi memperluas perlindungan kepada golongan yang tiada akses dan kurang mendapat akses agar setiap rakyat Malaysia mempunyai rangkaian keselamatan sosial,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pelancaran itu juga menandakan komitmen bersama pengendali takaful ke arah perkembangan dan evolusi industri dengan kerangka yang memperincikan peta jalan pertumbuhan mampan, akses lebih luas, inovasi serta nilai sosial berimpak tinggi.

 “Pada dasarnya, rangka kerja itu memberi tumpuan kepada peningkatan pemahaman orang ramai mengenai takaful dan meluaskan jangkauan kepada yang tidak mempunyai akses , termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

“Hijrah27 menangani 19 cabaran utama yang merangkumi kesedaran, pengedaran, digital, daya saing produk, bakat dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang dikenal pasti melalui penglibatan dengan pihak berkepentingan industri. 

“Melalui komitmen ini, Hijrah27 dijangka dapat memacu pertumbuhan yang berkesan dan mampan dalam industri takaful di Malaysia,” katanya. 

Hijrah27 meneruskan kejayaan Pelan Pembaharuan MTA 2022 hingga 2023 yang dikenali sebagai ISLAH23 dan menyelaraskan misi MTA dengan matlamat visi Pelan Induk Sektor Kewangan 2026 serta rangka kerja industri Perantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT). 

Dalam acara sama, seiring dengan sambutan ulang tahun ke-40 industri takaful di Malaysia, MTA telah melancarkan laporan khas yang merangkumi pencapaian penting industri, trend dan pandangan keseluruhan pasaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×