PORT DICKSON: Hasil tidak pernah mengkhianati usaha merupakan ungkapan terbaik yang boleh ditujukan kepada usahawan orang kurang upaya (OKU) yang juga pemilik syarikat, MS Alias Enterprise, Mohd. Alias Abu Bakar, 34.
Apa tidaknya, selepas terlibat dengan kemalangan teruk sehingga mengakibatkan dia mengalami cacat kekal, Mohd. Alias bangkit membangunkan produk ikan pekasam menerusi jenama Pekasam Alias Warisan Bonda.
Sejak 2015, produk ikan pekasamnya itu semakin dikenali dan mendapat sambutan ramai malah berjaya menembusi pasaran sehingga United Kingdom.
Menurut pemuda itu, dia memulakan perniagaan itu bermodalkan duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperolehnya.
“Semuanya bermula dengan saya berniaga dari rumah ke rumah kemudian beralih berniaga di tepi jalan sebelum menyewa sebuah gerai Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) supaya dapat menjalankan operasi membuat pekasam dengan lebih sistematik.
“Saya menjual pelbagai jenis ikan pekasam, daging pekasam dan telur sotong pekasam dengan harga bermula RM13 sehingga RM16.
“Sehingga kini sambutan diterima juga baik, produk ikan pekasam ini telah memasuki beberapa pasar raya selain saya juga sering memasuki pameran jualan produk tempatan. Setiap bulan saya mampu menjual sehingga 300 bekas ikan pekasam,” katanya ketika ditemui di kedainya yang terletak di Jalan Mahajaya di sini.
Mohd. Alias berkata, produknya itu juga telah mendapat pensijilan halal sejak 2022 yang bertujuan mengembangkan lagi kehadiran produk itu di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Sejak awal memang saya menyedari kepentingan untuk memiliki sijil halal dan menjadikan perkara itu sebagai keutamaan.
“Ia juga dilihat sebagai satu daripada strategi terbaik dalam mempermudahkan pengembangan produk dan jenama supaya dapat dikenali ramai.
“Kami telah pun berjaya menembusi pasaran United Kingdom dan kini sedang mengintai potensi pasaran ke Amerika Syarikat dan Singapura pula,” katanya.-UTUSAN










