BANDAR pintar mempunyai tiga tema utama iaitu menggunakan maklumat, komunikasi dan teknologi digital untuk menangani cabaran bandar, meningkatkan pengurusan bandar dan kualiti hidup, kemampanan, kecekapan dan keselamatan.
Ia juga meningkatkan aktiviti ekonomi dan perniagaan dan ketiga penyertaan awam dan bandar yang berterusan berinovasi.
Mewujudkan bandar pintar adalah satu langkah untuk masa hadapan dan kerajaan menyedari perkara itu apabila peruntukan berjumlah RM15.1 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meningkatkan pembangunan bandar pintar di seluruh negara dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini.
Peruntukan itu merupakan pembiayaan terbesar yang pernah diterima kementerian untuk inisiatif bandar pintar.
Beberapa bandar pintar seperti Cyberjaya, Putrajaya, Iskandar Puteri, Pulau Pinang dan Melaka mula dilihat sebagai satu komuniti yang unik.
Terbaharu, Gamuda Cove diwujudkan dan terdapat bandar-bandar lain turut beraspirasi menjadi bandar pintar iaitu Kulim, Kota Kinabalu dan Johor Bahru.
Namun, sejauh manakah inisiatif bandar pintar itu mampu mencapai aspirasi kerajaan Madani untuk mewujudkan ekonomi inklusif yang menarik minat penduduk dan pelabur, menjana aliran hasil baharu, meningkatkan hasil cukai serta mewujudkan peluang pekerjaan?
Menurut Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, bandar pintar akan menjadi pemangkin kepada ekonomi negara dengan pembangunan yang seimbang dari segi fizikal mahupun mental penduduknya.
“Kewujudan bandar pintar ini akan menjadi penarik kepada pelaburan sama ada pelaburan langsung asing (FDI) mahupun pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai tempat tinggal mahupun aktiviti perniagaan, bukan sahaja kepada industri teknologi tinggi tetapi juga industri lain seperti pengangkutan dan logistik, kewangan, pendidikan, pembuatan, perkhidmatan.
“Hal ini kerana bandar pintar yang diterajui teknologi menjadi teras kepada semua industri sekarang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas beliau, bandar pintar juga akan menjadi tempat pelaksanaan teknologi terbaharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang kini merupakan segmen industri teknologi maklumat (IT) yang paling berkembang.
“Masa depan AI adalah sangat baik, dengan potensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi merentas banyak sektor dari aspek ekonomi. AI boleh meningkatkan produktiviti dan kecekapan dengan unjuran 14 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia menjelang 2030.
“Kedudukan Malaysia yang kini menjadi penarik pelaburan besar-besaran oleh syarikat multinasional dalam pusat data di Asia Tenggara turut meletakkan bandar pintar pada asas yang baik untuk jangka panjang dari aspek guna tenaga mahir, infrastruktur dengan bekalan asas seperti elektrik dan air yang mencukupi,” katanya.
Jelas Aimi Zulhazmi, kewujudan bandar pintar sememangnya memerlukan pendanaan yang besar, namun ia harus dibangunkan untuk berdaya tahan dari segi kewangan mahupun dari pengurusan.
“Penglibatan pihak pedagang, perniagaan dan entiti persendirian mestilah digabungkan dalam pentadbiran bandar pintar ini.
“Komitmen jangka panjang semua pihak untuk mempunyai bandar pintar yang berdaya tahan adalah sangat mustahak supaya tidak timbul persoalan bantuan kerajaan dalam perbelanjaan pengurusan mahupun pembangunan serta inovasi kehadapan.
“Justeru, perlunya bandar-bandar pintar ini mempunyai kebebasan autonomi yang tersendiri,” katanya.
Sementara itu, Profesor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, bandar pintar sebagai satu langkah penting dalam mentransformasikan kehidupan bandar ke arah yang lebih efisien, berdaya tahan dan mesra alam.
“Dengan integrasi teknologi canggih seperti internet kebendaan (IoT), AI dan analisis data, bandar pintar diharapkan dapat menangani masalah bandar seperti kesesakan lalu lintas, pencemaran dan penyediaan perkhidmatan awam yang lebih baik.
“Oleh itu, kerajaan perlu membangunkan rangka kerja dasar yang kukuh yang menyokong pembangunan infrastruktur digital dan penyelidikan teknologi,” ujarnya.-UTUSAN










