Tingkat gaji minimum bantu tambah caruman KWSP pekerja - Utusan Malaysia

Tingkat gaji minimum bantu tambah caruman KWSP pekerja

KWSP dijangka mengumumkan dividen lebih tinggi bagi 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meningkatkan kadar gaji minimum untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja yang lebih baik, sekali gus memberi peluang menambah simpanan persaraan.

Profesor Kewangan Dan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, pihak yang terlibat perlu bekerjasama dengan majikan untuk memastikan gaji minimum yang adil dan sesuai dengan kos sara hidup semasa.

“Peningkatan gaji minimum juga boleh meningkatkan kesejahteraan pekerja dan produktiviti secara keseluruhan.

“Selain caruman wajib daripada gaji bulanan, pekerja boleh digalakkan untuk membuat caruman tambahan secara sukarela ke dalam akaun KWSP mereka.

“Langkah ini boleh dilakukan melalui insentif cukai atau kempen kesedaran yang memberi penekanan kepada kepentingan menambah simpanan persaraan. Jika individu mempunyai lebihan pendapatan, mereka boleh memanfaatkan skim ini untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Nik Maheran, kebanyakan pekerja, terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah, tidak menyedari kepentingan merancang persaraan.

“Oleh itu, pendidikan kewangan yang berfokus kepada pengurusan simpanan dan perancangan persaraan amat penting.

“Usaha Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) memperkenalkan program literasi kewangan yang mendidik pekerja tentang cara-cara untuk meningkatkan simpanan, melabur dan memastikan mereka mempunyai pendapatan yang mencukupi apabila bersara sangat membantu,” katanya.

Mengulas lanjut, Nik Maheran berkata, selain KWSP, kerajaan boleh memperkenalkan skim perlindungan sosial lain yang memberi sokongan kepada mereka yang berpendapatan rendah, seperti pencen asas atau bantuan persaraan .

“Skim ini boleh memberikan sokongan tambahan kepada golongan yang tidak mampu menambah simpanan persaraan mereka melalui caruman KWSP sahaja. Dengan adanya perlindungan sosial yang lebih kukuh, risiko kemiskinan dalam kalangan pesara dapat dikurangkan.

“Bagi pekerja yang berpendapatan rendah, peluang untuk mendapatkan pekerjaan sampingan atau sumber pendapatan alternatif seperti perniagaan kecil-kecilan atau ekonomi gig boleh dipromosikan. Dengan adanya pendapatan tambahan, pekerja dapat menambah simpanan KWSP atau melaburkan sebahagian pendapatan untuk persaraan mereka,” katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia,Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, kerajaan boleh menyediakan satu pelan atau Elaun Sara Hidup (COLA) kepada pekerja sektor swasta terutama pekerja gig bagi melindungi hak dan kebajikan mereka.

“Sekiranya ada, mungkin (elaun) ini akan membantu menaik taraf kehidupan mereka sekali gus menambah caruman kepada simpanan mereka kepada KWSP.

“Saya melihat perkara ini agak baik sekiranya dilaksanakan kerana keadaan sara hidup yang agak tinggi ini akan memberi mereka menjana peluang yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, struktur gaji rendah di Malaysia menjadi faktor utama jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak mencukupi.

Beliau berkata, caruman yang tidak teratur, terutama dalam kalangan mereka yang menceburi ekonomi tidak formal atau ekonomi gig juga memburukkan lagi keadaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN